KEMATIAN seorang model dan pelakon berusia 33 tahun, Twisha Sharma, yang dijumpai dalam keadaan tidak sedarkan diri di kediamannya di Bhopal pada Mei lalu, terus menjadi perhatian selepas pihak berkuasa India memfailkan pertuduhan terhadap suami dan ibu mentuanya.
Twisha ditemukan meninggal dunia pada 12 Mei, selepas lima bulan mendirikan rumah tangga dengan peguam, Samarth Singh.
Kes itu mendapat perhatian meluas media India, dengan pelbagai dakwaan timbul berhubung punca kematiannya, termasuk membunuh diri dan menjadi mangsa pembunuhan.
Dalam kertas pertuduhan yang difailkan Biro Siasatan Pusat (CBI), Samarth dan ibunya, Giribala Singh didakwa atas kesalahan bersubahat mendorong bunuh diri serta melakukan kekejaman.
Kedua-duanya bagaimanapun menafikan dakwaan berkenaan.
Kes kematian Twisha turut mendapat perhatian istimewa di India susulan latar belakang keluarga mentuanya, berikutan Giribala pernah berkhidmat sebagai hakim.

Ibu bapa dan adik-beradik Twisha sebelum ini mendakwa dia berdepan layanan buruk daripada suami dan ibu mentuanya berhubung tuntutan mas kahwin, malah mendakwa kematiannya bukan akibat membunuh diri sebaliknya dibunuh.
Giribala menyifatkan dakwaan terhadapnya sebagai ‘tidak berasas’, selain mendakwa Twisha mempunyai masalah kesihatan mental dan membunuh diri.
Samarth pada mulanya gagal dikesan sebelum menyerah diri kepada polis, manakala Giribala ditahan beberapa hari kemudian.
“Disebabkan kekejaman mental yang berterusan dilakukan kedua-dua tertuduh (suami dan ibu mentua Twisha), dia tidak mempunyai pilihan lain selain mengakhiri hidupnya,” menurut CBI dalam kertas pertuduhan setebal 600 halaman yang difailkan di mahkamah bulan lalu.
Peguam keluarga Twisha, Ankur Pandey, memberitahu BBC Hindi yang tindakan CBI mendakwa kes itu sebagai bersubahat mendorong bunuh diri menunjukkan siasatan mendapati Twisha dipercayai membunuh diri.
Beliau berkata, CBI turut memohon kebenaran mahkamah untuk menjalankan siasatan lanjut, dengan menyatakan jika bukti baharu muncul sepanjang siasatan, peranan beberapa individu lain boleh disiasat dan, jika perlu, kertas pertuduhan tambahan boleh difailkan.
KEKEJAMAN MENTAL
Twisha yang merupakan model dan pelakon, dinobatkan sebagai Miss Pune pada 2012 selepas memenangi pertandingan ratu cantik bandar di barat India itu.
Dia kemudiannya muncul dalam beberapa kempen pengiklanan dan berlakon dalam sebuah filem berbahasa Telugu.
Beberapa tahun kebelakangan ini, Twisha turut menceburi bidang pemasaran bersama beberapa syarikat swasta.
Menurut kertas pertuduhan, Twisha berkenalan dengan Samarth menerusi aplikasi temu janji pada Februari 2025 sebelum berkahwin pada Disember tahun sama.
CBI berkata, siasatan mendapati Samarth beberapa kali melakukan kekejaman mental terhadap Twisha selepas perkahwinan mereka, termasuk menggunakan kata-kata hinaan.

“Giribala sering menghasut anak lelakinya untuk melakukan kekejaman mental terhadap Twisha,” menurut CBI.
Menurut keluarga Twisha, hubungan antara Twisha dan keluarga mentua mula tegang pada April selepas dia disahkan hamil.
Mereka mendakwa suami dan ibu mentuanya mempersoalkan kesetiaannya serta menuduh kandungan itu bukan anak Samarth, selain memaksanya menggugurkan kandungan pada minggu pertama Mei.
Bagaimanapun, Giribala menafikan dakwaan itu dan berkata Twisha sendiri yang mahu menggugurkan kandungan kerana tidak mahu mempunyai anak.
Beberapa hari selepas kematian Twisha, bekas hakim itu turut menerima kecaman selepas mengadakan sidang akhbar mengenai kesihatan mental menantunya.
Beliau turut menyifatkan Twisha sebagai ‘liberal’. Ketika diminta menjelaskan maksud perkataan itu oleh seorang wartawan, Giribala mengaitkannya dengan pergaulan bebas.
Kenyataan itu mencetuskan kemarahan ramai, manakala bapa Twisha berkata, ia merupakan cubaan untuk memburukkan nama anak perempuannya.










