Krisis Asia Barat lonjak kos bahan api MAG lebih 15 peratus - Utusan Malaysia

Krisis Asia Barat lonjak kos bahan api MAG lebih 15 peratus

NASARUDDIN A. BAKAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Lonjakan kos bahan api penerbangan ekoran krisis geopolitik berlarutan di Asia Barat memberi tekanan signifikan kepada prestasi kewangan Malaysia Aviation Group (MAG) tahun ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Kapten Nasaruddin A. Bakar berkata, kenaikan harga minyak mentah yang pernah melonjak sehingga AS$237 setong sebelum stabil sekitar AS$160 setong telah meningkatkan perkadaran kos bahan api MAG daripada 14 peratus kepada melebihi 15 peratus daripada keseluruhan kos operasi kumpulan.

Ekoran situasi berkenaan, MAG berharap kerajaan dapat memberikan sokongan khusus menerusi Belanjawan 2027 bagi membantu syarikat penerbangan menguruskan kenaikan mendadak kos tersebut dan mengekalkan daya saing industri. 

“MAG sentiasa berhubung rapat dengan kerajaan bagi membincangkan bentuk bantuan yang boleh disalurkan, termasuk insentif kelonggaran caj dan fi di lapangan terbang serta sokongan khusus bagi pasaran penerbangan domestik.

“Pada Januari dan Februari, kita mencatatkan keuntungan dengan prestasi ketepatan masa (OTP) yang sangat baik iaitu antara 91 hingga 92 peratus bagi penerbangan Malaysia Airlines dan Firefly. Namun, krisis Asia Barat memberi tekanan signifikan kepada kos penerbangan kami.

“Sebagai langkah berwaspada, kami mengambil pendekatan pemotongan pada destinasi terpilih dengan mengurangkan kira-kira lima peratus daripada keseluruhan kapasiti tempat duduk kilometer (ASK), melibatkan hampir 8,000 penerbangan daripada 10,000 jumlah penerbangan,” katanya selepas taklimat media di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Perniagaan Syarikat Penerbangan MAG, Bryan Foong dan Ketua Pegawai Komersial MAG (Airlines), Dersenish Aresandira.

Mengulas mengenai strategi lindung nilai bahan api, Nasaruddin berkata, MAG telah melindung nilai antara 36 hingga 50 peratus keperluan bahan apinya mengikut suku tahunan secara berganti bagi tempoh 12 bulan, yang membantu mengurangkan impak kewangan buat masa ini.

“Mengenai trend permintaan penumpang, MAG menyaksikan lonjakan tempahan penerbangan dari rantau Australia, New Zealand, serta Eropah pada bulan pertama krisis berkenaan tercetus.

“Bagaimanapun, kadar muatan kini kembali stabil pada purata 84 peratus di seluruh rangkaian penerbangan kumpulan,” katanya.

MAG turut menaruh harapan terhadap potensi peningkatan pasaran menjelang suku keempat tahun ini ekoran musim puncak perjalanan, meskipun tiada lonjakan permintaan mendadak dikesan selepas fasa awal krisis berkenaan.

Dalam pada itu, MAG menerusi anak syarikatnya, Firefly, terus memperluas penerbangan ke pasaran China secara berfasa merangkumi sembilan hab sebagai strategi menangkap lonjakan permintaan perjalanan dari negara berkenaan.

Dalam perkembangan berasingan mengenai aspek keselamatan dan kebajikan tenaga kerja, Nasaruddin memaklumkan bahawa MAG telah menyelesaikan ujian saringan kesihatan ke atas 100 peratus juruterbang dan 98.8 peratus anak kapal Malaysia Airlines serta Firefly setakat semalam.

Proses saringan yang merangkumi lebih 1,100 juruterbang serta ribuan anak kapal itu bakal dijadikan prosedur wajib tahunan selain pelaksanaan ujian rawak mingguan bagi memastikan standard keselamatan tertinggi kumpulan penerbangan berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×