PM fokus kukuhkan ekonomi, hapus rasuah sebelum adakan PRU16

PM fokus kukuhkan ekonomi, hapus rasuah sebelum adakan PRU16

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AMPANG: Kerajaan mahu memfokuskan untuk mengukuhkan ekonomi dan kesejahteraan rakyat selain membersihkan negara daripada amalan salah guna kuasa serta rasuh berbanding mengutamakan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau akan meneliti cadangan bagi mempercepatkan PRU16 namun akan mempertimbangkan dan kemudian mempersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Namun, beliau berkata, fokus memperkukuhkan ekonomi, kesejahteraan rakyat, menghapuskan amalan salah guna kuasa dan rasuah di negara lebih penting pada masa ini.

“Bagi saya, fokus ini yang penting. Kesepaduan keadaan yang ada sekarang, kerajaan itu masih stabil, kita tumpu yang ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Bukit Indah, di sini, hari ini.

Perdana Menteri berkata, orang berintegriti, amanah dan bersih tidak perlu gusar atau takut dengan langkah-langkah diambil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mahu pun Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Katanya, kerajaan tidak boleh membiarkan amalan rasuah dan salah guna kuasa terus berleluasa di negara.

“Saya tahu, saya sendiri pun ada hadapi beberapa tekanan, cadangan, tetapi saya ambil keputusan, sebagaimana yang saya sampaikan kepada mesyuarat Jemaah Menteri hari Rabu, kita dapat mandat mentadbir, mengurus dengan baik, bersihkan negara daripada amalan rasuah dan penyalahgunaan kuasa,” katanya.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, perkara itu mendapat sokongan semua pihak dalam mesyuarat Jemaah Menteri dan beliau akan meneruskan usaha tersebut.

Tambahnya, beliau mahu agensi terlibat menjalankan kerja dengan berhemah dan adil bukannya menekan mana-mana pihak seperti ditohmah.

“Ada bukti, teruskan. Tak ada bukti, lepaskan. Tetapi saya hendak tegaskan, selagi saya pegang amanah ini dan sudah sampai, kita ambil pendirian yang tegas. 

“Masyarakat Melayu, Cina, India, dari Sabah atau Sarawak, ini bukan soal kaum. Ini soal selamatkan negara. Bukan nak selamatkan kedudukan, bukan selamatkan kumpulan. 

“Walaupun saya hadapi risiko atau tekanan, Insya-Allah saya minta rakyat doa kita dapat teruskan dan bersihkan negara ini,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×