Bersediakah Malaysia untuk pensijilan halal mandatori?

Bersediakah Malaysia untuk pensijilan halal mandatori?

PERLUKAH pensijilan halal diwajibkan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta syarikat besar di Malaysia?
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENSIJILAN halal sering dilihat sebagai isu agama dan keperluan pengguna Muslim. Namun, dalam sektor makanan yang semakin kompleks, konsep halal mempunyai cakupan lebih luas, termasuk jaminan kualiti, keselamatan makanan, ketelusan rantaian bekalan, kebolehkesanan produk serta keyakinan pengguna. Persoalannya, perlukah pensijilan halal diwajibkan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta syarikat besar di Malaysia?

Persoalan ini semakin relevan apabila Indonesia bergerak ke arah pelaksanaan kewajipan pensijilan halal secara menyeluruh. Mulai 18 Oktober 2026, produk makanan dan kosmetik dalam skop kewajipan, termasuk keluaran PMKS, perlu mempunyai pensijilan halal selepas melalui tempoh peralihan. Perkembangan tersebut wajar diperhatikan Malaysia, bukan untuk meniru sepenuhnya pendekatan Indonesia, tetapi sebagai bahan perbandingan dalam menilai hala tuju sistem halal negara.

Pada masa ini, permohonan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) pada asasnya masih bersifat sukarela. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) turut menjelaskan tiada undang-undang umum yang mewajibkan semua pengusaha mendapatkan SPHM. Walau bagaimanapun, kerajaan menggalakkan pensijilan kerana pFengiktirafan tersebut mampu memberikan nilai tambah kepada perniagaan serta membuka peluang pasaran lebih luas.

Perlu difahami bahawa produk tanpa sijil halal tidak semestinya bermaksud haram. Pensijilan merupakan mekanisme rasmi untuk mengesahkan bahan, produk dan proses pengeluaran memenuhi keperluan halal yang ditetapkan. Jakim juga menyediakan Direktori Halal Malaysia bagi membolehkan pengguna menyemak status produk, premis makanan dan perkhidmatan yang diiktiraf.

Namun, pendekatan sukarela menimbulkan persoalan tentang sejauh mana pengguna mampu menentukan sendiri status sesuatu keluaran. Dalam rantaian bekalan moden, produk mungkin mengandungi gelatin, pengemulsi, perisa atau bahan tambahan dari pelbagai negara. Pengguna sukar mengetahui sumber bahan, kaedah pemprosesan, penyimpanan serta pengangkutannya.

Pensijilan bukan sekadar pengeluaran sijil atau penggunaan logo. Prosesnya melibatkan pemeriksaan bahan mentah, pembekal, pengeluaran, penyimpanan dan kawalan pencemaran silang. Tanpa persediaan mencukupi, kewajipan boleh menyebabkan kelewatan, tunggakan permohonan serta peningkatan kos operasi.

Pada masa sama, manfaat pensijilan mandatori tidak boleh diketepikan. Pengesahan rasmi dapat meningkatkan keyakinan pengguna, memperkukuh ketelusan rantaian bekalan serta meningkatkan daya saing industri halal Malaysia di pasaran antarabangsa. Konsep halal juga boleh digabungkan dengan kualiti, keselamatan dan kebolehkesanan sebagai sebahagian daripada sistem pengurusan perusahaan.

Malaysia tidak perlu menyalin model Indonesia kerana struktur ekonomi, saiz pasaran dan sistem pentadbiran kedua-dua negara berbeza. Sebaliknya, negara boleh membangunkan kerangka sendiri melalui pelaksanaan berperingkat, bermula dengan pendidikan dan peningkatan kapasiti, diikuti syarikat besar sebelum diperluas kepada PMKS dan perusahaan mikro.

Pendekatan audit berasaskan risiko juga wajar dipertimbangkan. Produk yang menggunakan bahan kritikal atau mempunyai rantaian bekalan kompleks boleh menjalani pemeriksaan lebih ketat, manakala keluaran berisiko rendah melalui proses lebih mudah.

Sudah tiba masanya halal dilihat sebagai sebahagian daripada infrastruktur ekonomi dan keyakinan pengguna, bukan semata-mata persoalan agama. Pensijilan mandatori wajar dipertimbangkan tetapi perlu dilaksanakan secara berperingkat dengan tempoh peralihan jelas, bantuan kepada PMKS, pendigitalan serta penguatkuasaan yang berkesan.

Jika dirancang dengan baik, langkah tersebut bukan sahaja melindungi pengguna Muslim, malah mampu memperkukuh integriti produk serta kedudukan Malaysia sebagai peneraju industri halal global. –UTUSAN

DR. EZANEE MOHAMED ELIAS
Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi & Logistik, Kolej Perniagaan, Universiti Utara Malaysia (UUM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×