Kerjasama Pas, UMNO bukan seperti MN tetapi demi kekuatan Melayu - Asyraf Wajdi

Kerjasama Pas, UMNO bukan seperti MN tetapi demi kekuatan Melayu – Asyraf Wajdi

ASYRAF Wajdi Dusuki (dua dari kanan) semasa hadir ke Majlis Perasmian Muktamar Pas Ke-72 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik), Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan. - UTUSAN/YATIMIN ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Usaha mendekatkan Pas dan UMNO bukan untuk menghidupkan semula Muafakat Nasional (MN), sebaliknya bagi memenuhi harapan orang Melayu terhadap permuafakatan lebih baik antara dua parti  itu demi kestabilan politik negara.

Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pihaknya mendukung sebarang agenda yang mampu membawa kepada permuafakatan lebih baik antara kedua-dua parti itu.

Katanya, ia selaras dengan aspirasi rakyat untuk melihat politik negara berada dalam keadaan lebih stabil, harmoni dan makmur.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ini bukan MN. Kita, seperti mana yang disebutkan oleh Presiden, mendukung apa jua agenda yang boleh memastikan harapan orang Melayu melihat dua parti terbesar ini dapat kita ada pemuafakatan yang baik.

“Yang paling penting, ia boleh memberikan suatu aspirasi besar negara yang mahu melihat keadaan negara yang lebih politiknya stabil, harmoni dan makmur,” katanya bagi mengulas perkembangan terbaharu hubungan Pas dan UMNO.

Terdahulu, beliau mewakili Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi hadir ke Majlis Perasmian Muktamar Pas ke-72 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik), Pengkalan Chepa di sini hari ini.

Asyraf Wajid berkata, masih terlalu awal untuk menyifatkan perkembangan berkenaan sebagai titik perubahan baharu dalam usaha menyatukan orang Melayu.

Katanya, UMNO tetap mendukung penyatuan ummah sebagaimana diharapkan majoriti rakyat, tanpa menafikan hak bangsa dan agama lain.

“Teras negara kita induknya Melayu dan Islam. UMNO menerima jemputan secara rasmi dan perkara tersebut telah dibincangkan dalam Majlis Kerja Tertinggi (MKT).

“Sebagai orang Melayu dan Islam, UMNO menerima jemputan itu dengan hati terbuka manakala Pas dijangka menghantar wakil ke Persidangan Agung UMNO (PAU) selepas ini,” ujarnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini