Bukan semua pelakon mampu membuatkan sebuah cerita terus ‘bernyawa’ selepas tirainya dilabuhkan. Namun, Fasha Sandha seakan mempunyai sentuhan tersendiri apabila drama bersiri lakonannya bukan sahaja mendapat tempat di hati penonton, malah mampu membuka jalan kepada musim seterusnya.
Daripada Natasha yang kemudiannya disambung menerusi Natasha 2, kini kejayaan itu kembali berulang apabila Doa Yang Terlindung dikatakan bakal mempunyai beberapa siri susulan.
Mungkin kerana kekuatan watak, mungkin juga kerana magis lakonannya yang masih menjadi taruhan. Apa pun alasannya, selepas lebih dua dekad berada dalam industri, tidak keterlaluan jika Fasha kini dianggap cukup layak menyandang gelaran ‘Ratu Drama Bersiri’.
“Saya bersyukur kerana pada usia lebih 40 tahun, orang masih mahu menonton drama-drama lakonan saya. Alhamdulillah, itu rezeki. Saya percaya penonton bijak menilai sama ada seseorang pelakon itu benar-benar memberikan sepenuh jiwa atau sekadar menganggap lakonan sebagai pekerjaan.
“Namun, masih banyak perkara yang perlu saya perbaiki dan setiap hari di lokasi adalah proses pembelajaran. Gelaran ‘Ratu’ itu terlalu tinggi untuk saya. Pada pandangan saya, kalau mahu bercakap tentang ratu, Erra Fazira adalah seorang ratu di mata saya.
“Kalau orang panggil saya ‘Ratu’, saya rasa gelaran itu terlalu tinggi. Alhamdulillah dan terima kasih atas penghargaan tersebut, tetapi saya masih belajar,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Tambah Fasha, rahsia untuk sesebuah watak yang berjaya meninggalkan kesan bukan terletak pada gelaran, sebaliknya kesungguhan pelakon memberikan seluruh jiwa ketika bekerja.
“Saya percaya kita perlu sentiasa ikhlas dengan apa yang dilakukan. Kalau babak menangis, menangislah habis-habisan. Kalau marah, marahlah bersungguh-sungguh. Jangan buat separuh jalan.
“Saya sentiasa percaya kita perlu memberikan sepenuh usaha dalam apa sahaja yang dilakukan. Memang ramai kawan-kawan bertanya tidak penat ke buat drama bersiri panjang?
“Bagi saya, ini pekerjaan dan minat saya. Saya menikmati apa yang saya lakukan. Jadi, selagi saya tidak rasa penat dan masih mempunyai kudrat, insya-Allah saya akan teruskan,” jelasnya.

Masa bersama keluarga jadi taruhan
Mengakui kesibukan yang menjadi tanda rezeki itu hadir bersama pengorbanan, pelakon berusia 42 tahun itu ralat kerana kurang meluangkan masa bersama keluarga dek kerana terikat dengan jadual penggambaran yang padat.
Fasha bagaimanapun bersyukur kerana mempunyai sistem sokongan keluarga yang sangat kuat termasuklah bekas mertua yang banyak membantunya menguruskan perihal anak sepanjang dirinya sibuk bekerja.
“Sejujurnya, saya masih belum dapat memberikan sepenuh perhatian kepada anak-anak. Saya juga tidak mempunyai banyak masa untuk membawa mereka bercuti.
“Memang sedih kerana walaupun kita mempunyai banyak pekerjaan dan pendapatan, kalau tiada masa bersama keluarga, itu bukan sesuatu yang menyeronokkan.
“Saya sudah beritahu anak-anak dan minta maaf kepada mereka. Saya jelaskan kepada mereka bahawa kesibukan ini sekejap sahaja. Saya juga bercadang untuk membawa mereka berjalan pada Disember ini.
“Alhamdulillah, saya mempunyai bekas keluarga mertua yang sangat rapat dengan anak-anak. Itu satu kelebihan dan keberkatan buat saya ketika perlu memberikan fokus kepada pekerjaan,” kongsinya.
Meskipun dihimpit rasa bersalah kerana waktu bersama keluarga semakin berkurangan, Fasha memilih untuk melihat kesibukan tersebut sebagai amanah dan rezeki yang perlu dimanfaatkan selagi ada kudrat.
“Saya percaya rezeki ini Allah yang berikan. Selagi saya mampu dan masih mempunyai kudrat, saya akan lakukan kerana peluang seperti ini bukan semua orang dapat,” ujarnya.









