PETALING JAYA: Penyanyi rap Killa Driz tampil dengan single baharu, Stuntman, bersama penyanyi rap ChronicalZ yang mengetengahkan gabungan elemen ketenangan dan kekacauan menerusi susunan muziknya.
Diterbitkan dan digubah oleh LastKhalif, Stuntman membawa mesej mengenai keberanian mengambil risiko, mengikut haluan sendiri serta mencuba sesuatu yang mungkin tidak berani dilakukan orang lain.
Menurut Killa Driz, konsep berkenaan diterjemahkan menerusi bunyi sintesis yang bertenaga, rentak dram yang lebih santai dan persembahan penuh keyakinan.
“Konsep lagu ini merupakan gabungan antara ketenangan dan kekacauan, jadi, kami mahu susunan muziknya kedengaran bertenaga, manakala rentak dram pula lebih santai.
“Saya mahu rentak lagu ini menggambarkan bagaimana seseorang boleh mencari ketenangan walaupun segala-galanya di sekeliling terasa huru-hara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Stuntman turut menyatukan Killa Driz dan ChronicalZ, dua artis yang telah mengenali satu sama lain selama bertahun-tahun menerusi lingkungan kreatif yang sama.
Kerjasama itu akhirnya direalisasikan selepas kedua-duanya menantikan karya yang dirasakan autentik serta bersesuaian dengan identiti muzik masing-masing.
Pelancaran Stuntman hadir ketika Killa Driz sedang meneruskan pembikinan album terbaharunya, Lepas Senja, yang diinspirasikan daripada kehidupan selepas matahari terbenam.
Album berkenaan bakal meneroka pelbagai emosi, hubungan dan pengalaman sepanjang malam, termasuk kisah patah hati, renungan diri, perayaan serta kelegaan.
Dalam perkembangan berkaitan, Killa Driz dijadualkan membuat persembahan di Motormaniac pada 6 September ini bersama beberapa artis daripada barisan Def Jam, selain bakal mempersembahkan beberapa lagu daripada Lepas Senja yang masih belum dilancarkan.
Stuntman kini boleh didengarkan di semua platform penstriman digital.










