5,000 sertai Perarakan Hari Kebangsaan ke-69 di Johor Bahru

5,000 sertai Perarakan Hari Kebangsaan ke-69 di Johor Bahru

PESERTA kontinjen mengibarkan bendera Jalur Gemilang sempena Hari Kebangsaan ke-69 Peringkat Daerah Johor Bahru di Dataran Bandaraya Johor Bahru, hari ini. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kira-kira 5,000 peserta menyemarakkan sambutan Perarakan dan Hari Kebangsaan ke-69 peringkat Daerah Johor Bahru yang berlangsung meriah di Dataran Bandaraya di sini, hari ini.

Perarakan melibatkan 49 kontinjen terdiri daripada agensi kerajaan, pihak swasta, badan berkanun, pasukan pancaragam, pasukan beruniform, pelajar dan sukarelawan, sekali gus mencerminkan semangat perpaduan serta patriotisme dalam kalangan masyarakat.

Turut mengambil bahagian ialah 15 kontinjen berkenderaan membabitkan agensi kerajaan seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG), Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Memuatkan artikel berkaitan…

Selain itu, penyertaan kelab permotoran, pemandu e-hailing Grab dan badan kebajikan turut menambah kemeriahan perarakan dengan tema ‘Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati’.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd. Jafni Md Shukor, hadir merasmikan sambutan berkenaan yang dimulakan dengan perarakan pembawa Jalur Gemilang oleh pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), sebelum diikuti kontinjen lain.

Majlis kemudiannya diteruskan di Dataran Bandaraya dengan pelbagai acara menarik, termasuk pertunjukan khas oleh ATM yang mendapat perhatian para peserta dan orang ramai.

Bacaan ikrar pula disampaikan oleh Aiman Muhaimin Airniyusli, 16, dari SMK Tasek Utara 2.

Kemunculan pelbagai lapisan masyarakat dalam perarakan itu bukan sahaja menghidupkan suasana sambutan Hari Kebangsaan, malah memperlihatkan semangat kebersamaan rakyat Johor dalam menyemarakkan kecintaan terhadap negara serta menghargai keamanan dan kesejahteraan yang dikecapi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini