KOTA BHARU: Seorang wanita terkejut apabila gurauan ibunya yang dia akan melahirkan anak pada sambutan kemerdekaan negara hari ini akhirnya menjadi kenyataan.
Nor Laila Che Ibrahim berkata, sebelum bersalin, ibunya sempat berseloroh bahawa cucunya itu akan lahir ulang tahun kemerdekaan negara ke-69 yang disambut hari ini.
“Saya tidak menyangka gurauan itu menjadi kenyataan. ‘Masin’ mulut ibu, akhirnya cucu dia lahir pada hari Merdeka.
“Memang satu kenangan yang sangat istimewa dan akan kami ingat sampai bila-bila,” katanya semasa program Sambutan Bayi Merdeka 2026 di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini hari ini.
Nor Laila memberitahu, dia berharap anaknya membesar dengan sihat, menjadi insan yang baik serta mampu membanggakan keluarga dan negara.
Sementara itu Pengarah HRPZ II Dr. Izamin Idris, berkata, seramai lapan orang bayi selamat dilahirkan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-69, hari ini.
Katanya, daripada jumlah itu lima adalah bayi lelaki dan selebihnya perempuan.
“Bayi pertama yang dilahirkan di HRPZ II pada 31 Ogos 2026 ialah seorang bayi perempuan yang selamat dilahirkan pada pukul 12.10 pagi,” ujarnya.-UTUSAN










