Internet mudahkan urusan rakyat

Internet mudahkan urusan rakyat

PENCAWANG telekomunikasi yang berfungsi dengan baik memberikan kemudahan capaian Internet kepada penduduk di Kuala Betis, Gua Musang, Kelantan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Kemudahan Internet yang disediakan kerajaan untuk masyarakat Orang Asli di kawasan Rancangan Penempatan Semula (RPS) Kuala Betis, di sini berada dalam keadaan baik dan lancar tanpa sebarang gangguan.

Wakil penduduk Orang Asli Sudin Rigen berkata, situasi itu sekali gus memudahkan urusan perhubungan penduduk selain mendapatkan maklumat terkini daripada pihak kerajaan.

Katanya, jaringan perhubungan itu penting supaya setiap maklumat yang diterima tepat dan sahih.

“Internet berjalan dengan lancar dan tiada isu gangguan di sekitar Kuala Betis.

“Sebelum adanya kemudahan ini, kami sukar untuk berhubung. Namun sejak kerajaan menaik taraf dan menyediakan kemudahan itu, perhubungan kami lancar,” katanya ketika dihubungi di sini.

Sudin memberitahu, kemudahan Internet yang laju turut membantu penduduk Orang Asli menjana pendapatan melalui perniagaan secara dalam talian.

Kataya, bagaimanapun dia berharap kerajaan dapat meningkatkan kemudahan Internet di kawasan pedalaman yang menjadi penempatan masyarakat Orang Asli.

“Masih ada kawasan yang belum ada kemudahan ini harap diberikan keutamaan,” ujarnya.

NURUL Faeza Kamar Md. Ridzuan menunjukkan kod QR kepada pelanggan yang membuat pembayaran di warung miliknya di Kampung Ulu Legong, Baling. – UTUSAN/SHAHIR NOORDIN

Sementara itu di Baling, Tok Batin Kampung Orang Asli Lubuk Legong, Razali Kulim, 48, berkata, capaian Internet membuka akses lebih baik kepada penduduk setempat, sekali gus menghubungkan mereka dengan anak-anak yang melanjutkan pelajaran.

Katanya, perkhidmatan Internet turut memberi manfaat kepada pelajar Orang Asli Kensiu yang kini mempunyai akses lebih mudah kepada bahan pembelajaran, maklumat dan pelbagai peluang dalam talian.

“Dulu kami terputus dengan dunia luar, tetapi kini banyak manfaat yang kami dapat cuma saya sering pesan kepada komuniti di sini agar berhati-hati guna teknologi sebab jika kita lalai ada orang akan ambil kesempatan,” ujarnya.

Dalam pada itu, kemudahan Internet yang lebih baik menerusi inisiatif Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) turut memanfaatkan peniaga luar bandar apabila urusan perniagaan kini lebih pantas, termasuk menyediakan kemudahan pembayaran tanpa tunai kepada pelanggan.

Bagi peniaga kedai makan, Nurul Faeza Kamar Md. Ridzuan, 33, kemudahan capaian Internet yang stabil amat membantu kelancaran urusan perniagaannya, terutama apabila pelanggan memilih membuat pembayaran menggunakan kaedah digital.

Menurutnya, penggunaan pembayaran tanpa tunai semakin menjadi pilihan pelanggan di kedainya sejak awal tahun lalu kerana lebih mudah, cepat dan tidak memerlukan mereka membawa wang tunai dalam jumlah yang banyak.

“Sekarang ramai pelanggan lebih suka bayar guna QR. Internet yang baik memang penting apatah lagi kawasan kami sering dikunjungi orang luar yang datang beriadah dengan konsep pelancongan semula jadi di sini.

“Dengan adanya kemudahan Internet, pelanggan tidak perlu risau sekiranya tidak bawa wang tunai yang cukup kerana mereka boleh bayar guna telefon,” katanya ketika ditemui di Kampung Ulu Legong, di sini.

Beliau berkata, kemudahan itu bukan sahaja memudahkan pelanggan, malah membantu peniaga mengurus transaksi dengan lebih teratur, selain mengurangkan keperluan menyediakan wang baki serta memudahkan pemantauan rekod transaksi perniagaan.

“Dulu kita lebih bergantung kepada tunai, tetapi sekarang pelanggan sudah berubah. Mereka mahu sesuatu yang mudah dan cepat. Jadi, sebagai peniaga kita kena ikut perubahan itu. Kalau pelanggan mahu bayar secara QR, kita perlu sediakan kemudahan itu,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×