SETIAP pagi, kedai kopi Tai Tong yang terletak di Jalan Sekolah Derma, Kangar di sini penuh dengan pengunjung pelbagai kaum bersarapan.
Melayu, Cina, India, Siam duduk semeja menikmati telur separuh masak, roti bakar dan secawan kopi sambil berbual, bergurau bersama.
Itu rutin biasa bagi rakyat pelbagai kaum di Perlis yang hidup aman damai sejak sekian lama.
Di kampung-kampung, pekan termasuk sekolah-sekolah, suasananya juga sama dengan masyarakat pelbagai kaum hidup seperti sebuah keluarga, susah senang bersama.
Baru-baru ini, apabila ada pihak luar cuba mencetus sentimen perkauman dalam isu perobohan Kuil Veeramakaliamman di Bukit Lagi di sini, dapat dilihat bagaimana rakyat Perlis termasuk pemimpin politik tanpa mengira fahaman politik di negeri ini bersatu hati dan senada mengecam pihak terbabit.
Mudahnya, isu perkauman ‘tidak laku’ di Perlis. Cubaan mana-mana pihak untuk meniup api perkauman di Perlis tidak akan berjaya.
Rata-rata pemimpin politik di Perlis, mengingatkan Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer agar tidak menimbulkan keluh-kesah dengan kenyataan tidak sepatutnya berkaitan perobohan Kuil Veeramakaliamman itu.
Rayer dalam satu kenyataan minggu lalu mengutuk tindakan penguatkuasaan merobohkan kuil berkenaan. Menerusi kenyataan itu, Rayer mendakwa kerajaan negeri di bawah pentadbiran Perikatan Nasional (PN) sebagai angkuh dan rasis, selain mendakwa insiden sedemikian tidak berlaku di bawah negeri pimpinan Kerajaan Perpaduan.
Dalam isu perobohan kuil di Bukit Lagi itu, tindakan penguatkuasaan telah dilaksanakan mengikut lunas perundangan selepas beberapa siri notis pengosongan dikeluarkan sejak Januari.
Malah, sebelum operasi dijalankan, pihak berkuasa juga sudah mengeluarkan notis bertarikh 23 Januari, disusuli notis pada 10 dan 19 Jun lalu kepada pemilik premis terbabit untuk mengosongkan tanah berkenaan.
Tindakan perobohan tersebut diambil selaras dengan peruntukan di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara (Akta 828) dan mengikut seksyen itu, mana-mana individu yang tanpa kebenaran sah menduduki atau membina apa-apa bangunan di atas mana-mana tanah kerajaan, tanah rizab mahupun tanah perlombongan adalah melakukan suatu kesalahan.
Pujian juga harus diberikan kepada kerajaan negeri khususnya Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah yang tegas menyelesaikan isu yang berlarutan sejak sekian lama itu.
Kerajaan negeri, tidak pernah menghalang sekiranya pembinaan kuil tersebut mematuhi syarat dan lokasi yang sesuai, bukannya pembinaan secara haram.
Penguatkuasaan perobohan kuil Veeramakaliamman itu juga adalah bagi menyelesaikan isu pembinaan rumah-rumah ibadat di kawasan yang tidak dibenarkan.
Tindakan tegas kerajaan negeri Perlis itu sewajarnya dijadikan iktibar oleh semua pihak agar dapat mematuhi peruntukan undang-undang.
Perobohan kuil berkenaan sama sekali tidak ada kaitan dengan agama atau kaum sebaliknya mengikut prosedur dan peruntukan undang-undang.
Pihak berkuasa tempatan (PBT) atau kerajaan negeri ada hak untuk merobohkan kuil berkenaan yang difahamkan di atas tanah yang digazetkan untuk tujuan reakreasi.
Sebagai rekod, sebanyak 41 buah rumah ibadat bukan Islam termasuk enam kuil dibina tanpa kebenaran atau secara haram di negeri ini.
Setakat ini, hanya 10 rumah ibadat bukan Islam yang telah memperoleh kelulusan Majlis Perbandaran Negeri Perlis (MPNPs) termasuk dua kuil iaitu Kuil Sri Subraniaswamy Devastanam di Bukit Lagi dan Kuil Kamatchi di Padang Besar.
Menurut Yang Dipertua MPNPs, Affendi Rajini Kanth, daripada jumlah itu, dua kuil haram telah berdepan tindakan perobohan termasuk yang terbaharu, Kuil Veeramakaliamman di Bukit Lagi.
Tegas Affendi Rajini, sebarang tindakan perobohan pembinaan haram di atas tanah kerajaan tersebut dilakukan tanpa sebarang prejudis tanpa mengira agama atau kaum.
Bagi seorang pengamal undang-undang, Muhamad Nazrith Naziman berkata, tindakan perobohan ke atas rumah ibadat yang dibina secara tidak sah atau haram tidak ada kaitan dengan agama atau kaum sebaliknya berasaskan peruntukan undang-undang yang tidak sewajarnya dipertikai.
Katanya, dalam isu pembinaan rumah ibadat haram, ia bukan mengenai agama atau kepercayaan mana-mana pihak.
Sebaliknya, persoalan yang perlu diberi perhatian ialah sama ada sesuatu struktur atau tempat ibadat tersebut telah didirikan, dibangunkan dan digunakan dengan mematuhi segala kehendak undang-undang serta kelulusan yang diwajibkan.
“Kewujudan sesuatu struktur untuk suatu tempoh masa yang panjang tidak dengan sendirinya menjadikan struktur berkenaan sah di sisi undang-undang.
Adalah penting untuk dibezakan antara hak seseorang untuk menganut dan mengamalkan agamanya dengan kewajipan untuk mematuhi undang-undang yang mengawal penggunaan tanah, pembangunan, pembinaan dan peraturan pihak berkuasa tempatan.
“Kebebasan beragama merupakan hak yang perlu dihormati, namun hak itu tidak boleh ditafsirkan sebagai pengecualian mutlak daripada pematuhan kepada undang-undang yang terpakai,” katanya yang juga merupakan Barrister-at-Law di London, United Kingdom (UK). – UTUSAN
PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Perlis.











