KOTA BHARU: Perkembangan di Asia Barat termasuk situasi di Selat Hormuz dipantau setiap hari oleh kerajaan menerusi papan pemuka Pantau Krisis bagi memastikan Malaysia sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan yang boleh menjejaskan bekalan dan ekonomi negara.
Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Seri Mohd. Shahar Abdullah berkata, papan pemuka yang dibangunkan dengan kerjasama Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) itu membolehkan kerajaan mendapatkan maklumat terperinci berkaitan perkembangan krisis yang sedang berlaku.
Katanya, kemudahan berkenaan turut menjadi saluran kerajaan untuk berkomunikasi dengan rakyat mengenai perkembangan semasa krisis tersebut.
“Kita tidak boleh cakap (situasi di Asia Barat) semakin baik atau memburuk kerana ia sukar diramalkan. Apa yang kita buat adalah sentiasa memantau 24 jam melalui agensi-agensi kita.
“Sekiranya ada perkara-perkara mendesak, kita terus adakan mesyuarat,” katanya selepas Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Negeri Kelantan Kali Ke-49, di sini, malam tadi.
Mohd. Shahar berkata, pemantauan kerajaan bukan hanya tertumpu kepada kemampuan bekalan minyak negara untuk bertahan sehingga hujung tahun ini, malah meliputi pelbagai aspek termasuk inflasi barangan dan keadaan pasaran pekerjaan.
Sementara itu, beliau berkata, kesan konflik Asia Barat terhadap ekonomi negara dan situasi serantau diberi perhatian dalam Belanjawan 2026 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada persidangan Dewan Rakyat akan datang.
Katanya, keutamaan kerajaan adalah memastikan kemapanan ekonomi Malaysia terus berada dalam julat yang diunjurkan, meskipun berdepan ketidaktentuan ekonomi global.
“Tahun ini kita unjurkan julat kemapanan ekonomi pada 4.5 peratus dan kita lihat pada suku kedua, ia telah berada pada kadar enam peratus. Tetapi kita tidak melihat ia sebagai bersifat lega.
“Kita terus memantau dan bertemu pelbagai pihak dan sektor untuk memahami apa sebenarnya berlaku dan apa pandangan mereka,” katanya. – UTUSAN











