Perkenal Kempen Kendiri hadapi gangguan bekalan

Perkenal Kempen Kendiri hadapi gangguan bekalan

Mohamad Sabu (dua dari kiri) melakukan gimik pada Majlis Pelancaran Kempen Kebun Di Rumah Sendiri (KENDIRI) sempena MAHA 2026 di MAEPS semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERDANG: Kerajaan memper­kenalkan kempen Kebun di Rumah Sendiri (Kendiri) sebagai persediaan menghadapi kemungkinan gangguan bekalan makanan serta kenaikan harga akibat ketidaktentuan geopolitik dunia.

Menteri Pertanian dan Keter­jaminan Makanan, Datuk Se­ri Mohamad Sabu berkata, ke­tidak­tentuan geopolitik ketika ini berpotensi menjejaskan rantaian bekalan makanan dan me­ningkatkan kos input pertanian yang sebahagian besarnya masih bergantung kepada import.

Menurutnya, keadaan itu boleh menyebabkan peningkatan kos pengeluaran yang akhir­nya memberi kesan kepada harga sayur-sayuran dan bahan makanan lain di pasaran.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Bila rantaian bekalan tergang­gu, ia akan mengakibatkan kenaikan harga barang. Baja seperti urea, fosfat dan pelbagai jenis semuanya datang daripada luar.

“Kita tidak tahu berapa lama lagi akan berlaku soal pertelingkahan geopolitik ini maka persediaan perlu dibuat supaya kalau berlaku bekalan makanan terjejas, kenaikan harga dan sebagainya, kita memperbanyakkan bahan makanan itu di pasaran,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Kempen Kendiri sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 di sini, semalam.

Mohamad berkata, Kendiri bukan bertujuan menggantikan keseluruhan sistem bekalan makanan negara sebaliknya menjadi sumber makanan tambahan yang dapat membantu keluarga menghadapi kemungkinan gangguan bekalan serta kenaikan harga.

Katanya, usaha menanam sa­yur-sayuran dan herba di rumah ju­ga boleh membantu memastikan bekalan makanan sentiasa tersedia pada peringkat isi rumah.

“Kita mahu menyediakan payung sebelum hujan. Kita tidak mahu kalau keadaan ini berterusan, ia memberi kesan kepada bekalan, terutamanya baja dan sebagainya, menaikkan harga makanan, harga sayur meningkat, maka ia berlaku kesusahan kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata, panduan mengenai kaedah penanaman juga boleh diperoleh daripada Jabatan Pertanian selain berkongsi pengetahuan sesama masyarakat.

Katanya, tanaman seperti keladi, daun kari, pandan dan cili antara contoh tanaman yang boleh diusahakan dalam ruang kecil di rumah.

“Daun kari misalnya, kita nampak pokok besar, tetapi boleh tanam dalam bekas plastik yang kecil. Untuk sebuah rumah, dua atau tiga batang yang tumbuh pun sudah mencukupi,” katanya.

Sementara itu, Mohamad ber­kata, sambutan terhadap pe­nganjuran MAHA 2026 terus me­ningkat apabila seramai 43,000 pengunjung direkodkan setakat pukul 3.30 petang semalam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini