Matrix Concepts sasar jualan hartanah RM1.8 bilion - Utusan Malaysia

Matrix Concepts sasar jualan hartanah RM1.8 bilion

MOHAMAD Haslah (tengah) bersama Pengasas dan Timbalan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Matrix Concepts, Datuk Seri Lee Tian Hock (kiri) dan Pengarah Urusan Kumpulan Matrix Concepts, Kelvin Lee Chin Chuan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Matrix Concepts Holdings Berhad menyasarkan jualan hartanah baharu sebanyak RM1.8 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2027, disokong pelancaran projek baharu bernilai RM2 bilion di Negeri Sembilan, Lembah Klang dan Johor.

Sasaran itu mewakili peningkatan berbanding rekod RM1.5 bilion jualan hartanah baharu yang dicapai kumpulan pada tahun kewangan 2026.

Pengerusi Matrix Concepts, Datuk Mohamad Haslah Mohamad Amin berkata, kumpulan itu memasuki tahun kewangan 2027 dengan keyakinan untuk meneruskan pertumbuhan berdasarkan prestasi pembangunan teras yang kukuh, portfolio lebih pelbagai serta saluran projek baharu dan pendapatan berulang.

“Bagi tahun kewangan 2027, keyakinan kami disokong oleh perniagaan sedia ada, saluran pembangunan dan sumbangan yang semakin meningkat daripada sumber pendapatan baharu serta berulang.

“Berdasarkan keadaan ini, kami berada pada kedudukan kukuh untuk mencapai sasaran jualan RM1.8 bilion,” katanya dalam kenyataan sempena Mesyuarat Agung Tahunan kumpulan, semalam.

Prestasi awal tahun kewangan 2027 turut menunjukkan momentum positif apabila hasil kumpulan bagi suku pertama berakhir 30 Jun 2026 meningkat 11 peratus tahun ke tahun kepada RM315.6 juta, manakala jualan hartanah baharu meningkat 9.2 peratus kepada rekod RM416.7 juta.

Setakat 30 Jun 2026, jualan belum dibilkan kumpulan berjumlah RM1.5 bilion, memberikan keterlihatan pendapatan untuk tempoh antara 15 hingga 18 bulan akan datang.

Bagi kumpulan, pembangunan Sendayan Developments kekal menjadi teras strategi kumpulan sebagai penyumbang hasil terbesar dan asas penting kepada pertumbuhan masa depan.

Pembangunan bandar bersepadu itu terus mencatat kadar pengambilan melebihi 80 peratus, disokong ekosistem pembangunan serta hubungan baik dengan Lembah Klang.

Pada masa sama, MVV City muncul sebagai pemangkin pertumbuhan baharu kumpulan, dengan pembangunan bersepadu seluas 2,382 ekar dan nilai pembangunan kasar (GDV) dianggarkan RM15 bilion.
MVV City yang dibangunkan bersama Kerajaan Negeri Sembilan merangkumi komponen perindustrian, kediaman dan komersial, dengan MVV TechValley menjadi tumpuan awal pembangunan.

Matrix Concepts berkata, pembangunan MVV City akan dilaksanakan secara berperingkat dengan fokus awal terhadap komponen perindustrian sebelum diperluaskan kepada segmen kediaman dan komersial.

Dalam usaha mempelbagaikan sumber pertumbuhan, kumpulan itu turut memperluas kehadiran di Lembah Klang, yang disasarkan menyumbang sekitar 20 hingga 25 peratus daripada jualan kumpulan dalam jangka panjang.

Portfolio itu meliputi Puchong, Kota Warisan serta koridor Sepang dan Banting, manakala pengambilalihan Horizon L&L mengukuhkan keupayaan kumpulan dalam pembangunan bertingkat tinggi.

Di Johor pula, Matrix Concepts berkata portfolionya mendapat manfaat daripada peningkatan permintaan, termasuk susulan penambahbaikan hubungan pengangkutan, kemudahan bandar dan penawaran produk yang lebih mampu milik.

Dalam jangka panjang, kumpulan menyasarkan sumbangan hasil daripada operasi di luar Negeri Sembilan melebihi 30 peratus daripada jumlah hasil keseluruhan.

Selain pembangunan hartanah, Matrix Concepts turut memperluas sumber pendapatan menerusi perniagaan hospitaliti, pendidikan dan penjagaan kesihatan.

Di Australia, penukaran M333 St Kilda di Melbourne kepada aset build-to-rent telah mewujudkan sumber pendapatan berulang, dengan kadar penghunian penuh dan keuntungan sebelum cukai tahunan sekitar AUD$2 juta.

Kumpulan turut merancang pelancaran Kanopy @ Sendayan selain mengembangkan perniagaan hospitaliti dan pendidikan.

Segmen penjagaan kesihatan pula akan diperkukuh menerusi rancangan melancarkan Matrix Medical Centre Sendayan pada 2027 serta pembangunan Nursing Care Centre berkapasiti 130 katil.

Menurut kumpulan, kepelbagaian sumber pendapatan itu dijangka meningkatkan daya tahan prestasi kewangan selain mengukuhkan perniagaan pembangunan hartanah teras.

Dalam pada itu, Matrix Concepts mengekalkan rekod pembayaran dividen selama 13 tahun, dengan RM114.5 juta diagihkan kepada pemegang saham bagi tahun kewangan 2026.

Bagi tahun kewangan 2027, kumpulan telah mengisytiharkan dividen interim pertama sebanyak 1.40 sen sesaham, membabitkan pembayaran RM26.3 juta atau 43 peratus daripada keuntungan selepas cukai suku pertama tahun kewangan 2027. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×