ALOR GAJAH: Kesemua 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang kini disandang Barisan Nasional (BN) akan menjadi garis sempadan perbincangan di antara parti itu dengan mana-mana parti lain bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tidak lama lagi.
Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, parti itu kekal dengan pendirian mempertahankan 21 kerusi terbabit dan tidak akan berkompromi mengenainya dalam rundingan pembahagian kerusi dengan parti lain yang mahu bekerjasama.
“Kami tidak akan kompromi 21 kerusi kerana itu adalah garisan sempadan perbincangan jika ada mana-mana parti ingin bekerjasama perkara ini mereka kena patuhi. Saya alu-alukan siapa hendak datang, tapi asas perbincangan mestilah berdasarkan kepada satu rasional yang cukup munasabah.
“Saya tidak boleh hendak menguruskan apa juga keputusan melainkan saya mendapat mandat daripada pihak Majlis Tertinggi UMNO,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Penutup Bengkel Penjajaran Hala Tuju Kampung Digital Melaka di sini, hari ini.
Ab. Rauf yang juga Ketua Menteri berkata, pihaknya mengalu-alukan mana-mana pihak yang mahu mengadakan perbincangan berkaitan kerjasama politik namun sebarang keputusan perlu mendapat persetujuan Majlis Tertinggi (MKT) UMNO yang akan bersidang malam esok.
Dalam pada itu, beliau menyifatkan pembubaran DUN Melaka sebagai diketahui umum malah memberi bayangan PRN boleh diadakan pada bila-bila masa.
“Pilihan raya ini bila-bila masa sahaja. Tidak ada masalah, cuma tarikh itu saya belum dapat ilham,” katanya.
Beliau berkata enggan mendedahkan tarikh pembubaran DUN lebih awal kerana mahu mengekalkan elemen kejutan.
“Pembubaran itu saya akan buat bila waktu bubar. Kalau saya beritahu sekarang, tak ada thrill lah, buat apa,” katanya.-UTUSAN










