PETALING JAYA: Penyanyi dan Juara Mentor musim kelima, Salma Asis, mendedahkan dia tidak pernah berkecil hati mahupun kisah sekiranya jarang muncul di televisyen (TV) kerana dia enggan lagi mengejar populariti walaupun 16 tahun sudah berada dalam industri.
Salma atau Salmah Andi Asis, 36, berkata, dia tidak mahu mengejar nama kerana apa yang lebih penting baginya ketika ini adalah rezeki untuk menyara anak-anak.
“Saya rasa zaman saya mahu popular sudah habis dan kalau mahu kejar benda itu macam tidak apalah. Ada rezeki buat persembahan di mana-mana pun saya sudah kira bersyukur.
“Kalau ada rezeki buat lagu, saya masih akan keluarkan solo baharu. Begitulah lebih kurang,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia pada Khamis.
Finalis Anugerah Juara Lagu ke-32 itu berkata, jemputan menjayakan majlis perkahwinan atau acara luar merupakan satu bentuk tawaran kerja yang disifatkannya juga menguntungkan.
Katanya, stesen televisyen masa kini lebih gemar mengundang artis yang popular dan tular untuk membuat kemunculan.
“Bagi saya, undangan menyanyi di majlis perkahwinan itu pun satu tawaran yang bagus dan bukannya tidak bagus kerana itu juga adalah rezeki. Sekarang saya rasa TV ini apabila orang diundang adalah untuk mereka yang ‘viral’ dan popular sahaja.
“Untuk orang yang kurang popular dan kurang naik nama ini memang akan kurang berada di TV. Tetapi macam saya, saya tidak kisah jika tiada tawaran keluar TV,” ujarnya.
Tambah Salma, pendapatan penyanyi yang kerap membuat persembahan di pelbagai acara luar kadangkala lebih lumayan berbanding mereka yang kerap muncul di kaca TV.
“Alhamdulillah kerja saya di luar masih ada dan masih boleh beri anak-anak makan. Jangan pertikaikan rezeki orang yang berada di TV dan juga tawaran menyanyi di luar kerana entah-entah pendapatan yang kerja di luar itu lebih banyak.
“Jadi, awak mahukan pendapatan yang banyak atau populariti? Bagi saya sama sahaja, kalau ada rezeki TV alhamdulillah dan jika ada rezeki di luar seperti majlis perkahwinan, festival atau karnival, itu pun rezeki juga,” katanya.
Terdahulu, Salma pernah menyertai Mentor pada 2011 dan merupakan protege kepada penyanyi dan pelakon, Erra Fazira sekali gus muncul juara, seterusnya menyertai program Pentas Epik 3 Juara pada 2016. -UTUSAN










