Pokok mangga jadi 'penyelamat' daripada dihanyut arus banjir

Pokok mangga jadi ‘penyelamat’ daripada dihanyut arus banjir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KATHMANDU: Seorang pekerja buruh Nepal terselamat selepas dihanyutkan arus deras air, lumpur dan batu ketika sedang menggali lubang tandas di luar sebuah rumah baharu di Bidur, semalam.

Bibek Kumal, 24, sedang bekerja di kawasan hilir daerah Rasuwa, yang paling teruk terjejas akibat banjir, berhampiran sempadan Nepal-Tibet, apabila dia terdengar bunyi desiran sebelum empat rakan sekerjanya yang berada di atas lubang sedalam 1.5 meter menjerit supaya dia keluar dan menyelamatkan diri.

“Saya mula berlari. Kemudian dinding air datang menghempas dengan begitu kuat seolah-olah berlaku gempa bumi,” katanya ketika ditemui di Pusat Trauma Kebangsaan Kathmandu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kumal berkata, arus deras itu kemudian menghanyutkannya bersama lumpur dan serpihan sebelum dia tersangkut di sebatang pokok mangga.

“Nasib baik saya tersangkut di atas pokok mangga. Kalau tiada pokok mangga, saya mungkin sudah dihanyutkan hingga maut,” katanya.

Banjir kilat itu mengorbankan sekurang-kurangnya 160 orang, manakala ratusan lagi termasuk warga asing masih hilang dalam salah satu bencana terburuk di Nepal.

Tiga lagi mangsa yang cedera turut menerima rawatan bersama Kumal, manakala mangsa lain terus dibawa ke Kathmandu.

Di luar hospital, keluarga, rakan dan orang ramai yang mahu memberikan sokongan memenuhi kawasan kecil di Pusat Trauma Kebangsaan itu.

Banjir berkenaan, yang dipercayai tercetus selepas sejumlah besar lumpur dan batu runtuh ke dalam sungai di sempadan Nepal-Tibet, memusnahkan penempatan serta infrastruktur di kawasan hilir.

Rakaman kamera keselamatan dari pihak China menunjukkan orang ramai melarikan diri sebelum dinding batu, lumpur dan air memusnahkan bangunan serta kenderaan, selain mengorbankan banyak nyawa.

Punca sebenar kejadian tanah runtuh itu masih belum diketahui, namun Pusat Penyelidikan Geosains Jerman melaporkan gempa bumi berukuran 4.4 pada skala Richter berlaku kira-kira tujuh minit sebelum waktu yang tertera pada rakaman kamera keselamatan itu.

Kumal berkata, ketika berpaut pada pokok mangga, dia menyaksikan rumah tempat dia bekerja lenyap dihanyutkan arus.

Polis kemudian tiba dan menariknya ke tempat selamat. Dia mengalami kecederaan pada kaki kanan selepas dihentam arus air sebelum terkena batu besar.

Katanya, rumahnya sendiri yang terletak di kawasan lain tidak mengalami kerosakan.- AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini