Tiga bekas Perdana Menteri hadir serentak di mahkamah

Tiga bekas Perdana Menteri hadir serentak di mahkamah

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hadir Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bagi menghadapi pertuduhan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).-UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini menjadi medan pertembungan tiga bekas Perdana Menteri antara Datuk Seri Najib Razak, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Mereka masing-masing berdepan prosiding mahkamah yang berbeza.

Najib kembali ke Mahkamah Tinggi bagi meneruskan saman sivil berbilion ringgit yang difailkan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) terhadapnya dan beberapa defendan lain.

Memuatkan artikel berkaitan…

Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mohamad Redzuan Idrus dijangka diteruskan dengan keterangan berkaitan transaksi skandal 1MDB.

1MDB menuntut ganti rugi berbilion ringgit daripada bekas Ahli Parlimen Pekan itu dan defendan lain berhubung kerugian yang didakwa dialami dana kekayaan negara berkenaan.

Di mahkamah lain, Muhyiddin pula akan meneruskan perbicaraan terhadapnya berhubung tujuh pertuduhan berkaitan program Jana Wibawa.

Presiden Bersatu itu berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM232.5 juta bagi parti berkenaan serta tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM200 juta.

Perbicaraan kes itu menyaksikan beberapa saksi dipanggil memberi keterangan berhubung projek, pembayaran dan syarikat yang didakwa mempunyai kaitan dengan program berkenaan.

Kes Ahli Parlimen Pagoh itu akan didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Khas Rasuah, Noor Ruwena Md Nurdin.

Selain itu, Ismail Sabri akan didakwa mengikut Seksyen 36(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 berhubung dakwaan gagal mengisytiharkan aset seperti yang dikehendaki agensi antirasuah.

Kehadiran beliau di mahkamah hari ini menyusul penangguhan tarikh pertuduhan sebelum ini selepas beliau mengalami masalah kesihatan.

Ismail Sabri sebelum ini dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) dan kemudiannya menjalani prosedur pemasangan perentak jantung.

Siasatan SPRM terhadap beliau sebelum ini mendapat perhatian selepas agensi itu mendedahkan penyitaan kira-kira RM170 juta wang tunai dalam pelbagai mata wang serta 16 kilogram jongkong emas yang dianggarkan bernilai RM7 juta.

Rampasan itu dibuat sebagai sebahagian daripada siasatan membabitkan beberapa bekas pegawai kanan Ismail Sabri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini