KUANTAN: Sebuah keluarga memerlukan bantuan RM65,000 bagi mendapatkan mesin ventilator utama untuk membolehkan anak bongsu mereka, Nuha Al Fathia Muhammad Suhaimi dibawa pulang ke rumah selepas lebih dua tahun dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini.
Kanak-kanak berusia dua tahun lima bulan itu disahkan menghidap Severe Hypoventilation Syndrome, Congenital Hypothyroidism dan Recurrent Nosocomial Infection/Pneumonia yang menyebabkan dia tidak dapat bernafas secara spontan ketika tidur serta bergantung kepada mesin pernafasan.
Ibunya, Nur Assyakira Rosdi, 30, berkata, keadaan penyakit Nuha Al Fathia adalah serius dan memerlukan penjagaan berterusan serta pemantauan rapi.
“Penyakit ini dikenal pasti ketika dia berusia dua bulan selepas sampel darahnya dihantar ke luar negara untuk menjalani ujian lanjut. Doktor memaklumkan penyakit anak saya sangat jarang berlaku, mungkin satu dalam sejuta. Sejak dilahirkan, dia tidak pernah pulang ke rumah dan hospital menjadi tempat dia membesar.
“Dia dilahirkan normal tetapi paras oksigennya terus merosot dan tidak menangis seperti bayi lain sebelum ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) sebelum dipindahkan ke wad PICU, sekali gus membolehkannya menjaga anak itu dengan lebih dekat,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.
Menurutnya, Nuha Al Fathia kini memerlukan dua mesin bantuan pernafasan dan sebuah mesin pemantau dengan mesin Tekanan Saluran Udara Positif Dua Tahap (BPAP) berharga kira-kira RM24,000, ventilator utama RM65,000 dan mesin pemantau dianggarkan RM6,000.
“Bantuan untuk mesin BPAP hampir selesai namun permohonan bagi mendapatkan ventilator utama belum diluluskan. Mesin itu penting kerana Nuha Al Fathia memerlukan bantuan oksigen bertekanan tinggi ketika tidur. Apabila bantuan oksigen dihentikan, badannya boleh membiru dan jantungnya berisiko terhenti,” katanya.
Orang ramai yang ingin membantu keluarga berkenaan boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank 156012430530 atas nama Nur Assyakira Rosdi. – UTUSAN.










