Guna MyKad wanita lain untuk bersalin, kegiatan jual bayi terbongkar

Guna MyKad wanita lain untuk bersalin, kegiatan jual bayi terbongkar

ADZLI Abu Shah menunjukkan gambar enam suspek yang ditahan bagi membantu siasatan kes penjualan bayi pada sidang akhbar di IPD Kulim, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULIM: Tindakan seorang wanita menggunakan MyKad milik individu lain bagi mendaftar proses kelahiran membawa kepada pembongkaran kegiatan penjualan bayi di sebuah hospital swasta di Sungai Petani, Jumaat lalu.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, pihaknya menerima laporan daripada pegawai perubatan hospital itu pada 21 Ogos lalu berhubung tindakan seorang wanita tempatan berusia 24 tahun yang melahirkan bayi lelaki.

“Siasatan awal mendapati wanita itu hamil luar nikah dan dia menggunakan identiti serta dokumen pengenalan diri milik wanita lain yang berusia 41 tahun.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Dia menggunakan MyKad itu untuk proses pendaftaran, pemeriksaan dan rawatan kehamilan sehingga melahirkan bayi di hospital itu,” katanya pada sidang akhbar, di sini hari ini.

Menurutnya, identiti wanita berusia 41 tahun itu bersama suaminya yang juga berumur 41 tahun akan digunakan bagi tujuan pendaftaran bayi di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) selepas kelahiran.

Katanya, pemeriksaan lanjut membawa kepada penahanan enam individu terdiri daripada empat wanita dan dua lelaki berusia 24 hingga 50 tahun termasuk pasangan suami isteri terbabit serta ibu bayi tersebut.

“Seorang lelaki tempatan yang bertindak sebagai orang tengah turut ditahan. Dia mengaku membayar segala kos di pusat bersalin itu berjumlah kira-kira RM9,000, selain memberikan wang RM8,000 kepada ibu kandung bayi yang dipercayai terlibat dalam urusan terbabit,” katanya.

Kata beliau, antara barang kes yang dirampas adalah empat telefon bimbit, dua gelang penandaan hospital, satu kad pengenalan, satu kad janji temu pusat bersalin, tiga resit pusat bersalin, satu borang kemasukan wad serta sebuah kereta Proton Saga.

“Kesemua individu yang ditahan kini direman selama 11 hari bermula 22 Ogos lalu bagi membolehkan siasatan lanjut di bawah Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670) berkaitan kesalahan pemerdagangan kanak-kanak,” jelasnya.

Sementara itu, bayi lelaki yang baru dilahirkan itu kini ditempatkan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani untuk pemantauan dan penjagaan pihak hospital bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Kuala Muda.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu boleh menghubungi pegawai penyiasat, Asisten Superintendan Azmirul Abdul Aziz di talian 019-4446521 atau mana-mana balai polis berhampiran. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini