PETALING JAYA: Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dijangka berkembang lebih pesat selepas unjurannya dinaikkan kepada 5.4 peratus bagi keseluruhan tahun ini berbanding 4.6 peratus sebelum ini.
Kenaikan unjuran tersebut dipacu oleh momentum ekonomi semasa yang positif dan prestasi separuh pertama tahun ini yang melangkaui jangkaan.
Peningkatan unjuran ekonomi negara ini dibuat selepas ekonomi mencatatkan pertumbuhan 5.4 peratus pada suku pertama dan 6.0 peratus pada suku kedua 2026, sekali gus membawa kadar pertumbuhan separuh pertama kepada sekitar 5.7 peratus.
IPP Financial Advisers (IPPFA) berkata, penyemakan semula unjuran berkenaan mencerminkan daya tahan ekonomi negara yang lebih tinggi berikutan asas pertumbuhan yang semakin meluas membabitkan sektor eksport, pelaburan dan permintaan domestik.
“Pertumbuhan dijangka sederhana kepada 5.1 peratus pada suku ketiga dan 4.8 peratus pada suku keempat 2026 berikutan penormalan permintaan luar.
“Walau bagaimanapun, penyederhanaan ini bukan bermakna berlaku kehilangan momentum secara mendadak, sebaliknya mewujudkan paras pertumbuhan mampan yang lebih tinggi bagi ekonomi negara,” katanya dalam kenyataan.
Menurut IPPFA, sektor eksport barangan dan perkhidmatan meningkat ketara pada suku kedua disokong oleh sektor elektrik dan elektronik (E&E), produk petroleum serta perkhidmatan berkaitan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).
“Bagi sektor pelaburan, pembentukan modal tetap kasar terus disokong oleh perbelanjaan jentera, peralatan, pusat data dan infrastruktur awan, manakala penggunaan swasta dan awam masing-masing berkembang 4.8 peratus dan 7.6 peratus pada suku kedua,” katanya.
Sejajar dengan prospek berkenaan, IPPFA menyemak turun unjuran inflasi 2026 kepada 1.9 peratus berbanding 2.2 peratus sebelum ini, sekali gus mengekalkan unjuran Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada paras 2.75 peratus sehingga akhir tahun.
Dalam pada itu, sasaran kadar pertukaran ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) disemak semula kepada RM4.02 menjelang akhir tahun berbanding RM4.05 sebelum ini, manakala indeks penanda aras Bursa Malaysia, FBM KLCI dinaikkan sasaran kepada 1,800 mata berbanding 1,780 mata. – UTUSAN











