PETALING JAYA: Malaysia Aviation Group (MAG) terus memperkukuh prestasi operasi syarikat penerbangannya menerusi pematuhan piawaian keselamatan antarabangsa, peningkatan kebolehpercayaan serta tumpuan berterusan terhadap kualiti perkhidmatan.
Ketua Pegawai Eksekutif Perniagaan Syarikat Penerbangan MAG, Bryan Foong berkata, keselamatan menjadi asas kepada setiap aspek operasi MAG dan kekal sebagai tanggungjawab bersama seluruh warga organisasi.
“Pensijilan keselamatan terbaharu, bersama prestasi operasi rekod Firefly, mencerminkan usaha kolektif warga kerja kami.
“Pencapaian ini mengukuhkan tumpuan berterusan kami untuk mengekalkan standard tinggi serta menyediakan pengalaman perjalanan yang selamat, boleh dipercayai dan konsisten kepada pelanggan di seluruh rangkaian kami,” katanya dalam kenyataan.
Malaysia Airlines memperbaharui pendaftaran Audit Keselamatan Operasi IATA (IOSA), sekali gus melanjutkan tempoh pensijilannya sehingga Julai 2028.
Syarikat penerbangan itu turut menerima penarafan keselamatan Tujuh Bintang PLUS daripada AirlineRatings.com baru-baru ini, susulan penilaian bebas terhadap standard dalam pesawat dan amalan operasinya.
Sementara itu, Firefly mengekalkan Penarafan Keselamatan Tujuh Bintang selain pendaftaran IOSA yang sah sehingga Februari 2028.
Beliau berkata, pencapaian berkenaan mencerminkan komitmen berterusan kedua-dua syarikat penerbangan terhadap aspek keselamatan operasi.
“Prestasi berkenaan turut disokong pencapaian operasi yang kukuh bagi separuh pertama 2026.
“Malaysia Airlines mencatat purata Prestasi Menepati Masa (OTP) 90.8 peratus, sekali gus mengatasi sasaran operasi secara konsisten, dengan prestasi tertinggi 93.8 peratus pada April lalu.
“Dalam tempoh sama, Firefly merekodkan purata OTP 92.5 peratus iaitu paras tertinggi dalam tempoh lima tahun dengan prestasi tertinggi 94.2 peratus pada Mac lalu.
“Peningkatan kebolehpercayaan jadual penerbangan itu turut menyumbang kepada pengurangan hampir 50 peratus tahun ke tahun dalam maklum balas berkaitan kelewatan penerbangan,” katanya.
Prestasi positif itu turut diterjemahkan menerusi peningkatan pengalaman pelanggan Firefly apabila Skor Promoter Bersih (NPS) meningkat 72 mata daripada -39 pada Ogos 2024 kepada +33 pada Mac 2026.
Firefly mencatat purata NPS +12 pada separuh pertama 2026, manakala Indeks Kepuasan Pelanggannya mencapai purata tertinggi sepanjang masa sebanyak 81 peratus setakat tahun ini.
Selain pencapaian operasi, Malaysia Airlines terus menerima pengiktirafan di pasaran utama menerusi pelbagai anugerah industri dan pengguna.
Syarikat penerbangan itu dinamakan sebagai APEX Four-Star Major Airline dan disenaraikan antara 20 Syarikat Penerbangan Perkhidmatan Penuh Terbaik Dunia 2026 oleh AirlineRatings.
Malaysia Airlines turut meraih anugerah jenama utama keempat berturut-turut di Korea Selatan selepas memenangi Hadiah Utama Kategori Syarikat Penerbangan pada Korea Consumer Awards 2026 anjuran Dong-A Ilbo.
Anugerah berkenaan ditentukan menerusi kajian pengguna dan penilaian pakar berdasarkan aspek kepercayaan, keunikan serta pengurusan berorientasikan pelanggan, sekali gus mencerminkan kekuatan jenama Malaysia Airlines di peringkat antarabangsa. – UTUSAN











