Kebakaran Sebana Cove: 25 hektar tanah gambut berjaya dipadamkan - Utusan Malaysia

Kebakaran Sebana Cove: 25 hektar tanah gambut berjaya dipadamkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Hampir separuh daripada keseluruhan 51.4 hektar tanah gambut yang terbakar di Jalan Bypass Punggai-Sebana Cove, di sini berjaya dipadamkan setakat tengah hari tadi.

Komander Operasi, Timbalan Penguasa Bomba II, Baharuddin Idris berkata, operasi pemadaman kini terus dipergiatkan bagi memastikan baki kawasan seluas 26.4 hektar lagi pulih sepenuhnya.

Menurutnya, kerja pemadaman dibuat mengikut kawasan dan kawasan yang berjaya dipadamkan itu merangkumi 10 hektar di Sektor A dan 15 hektar di Sektor B.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Operasi pemadaman di Sektor A menggunakan teknik serangan terus (direct attack) menerusi dua aliran 300 dan 400 kaki, dua pancutan serta dua fixed monitor daripada pam angkut dengan sumber air lori tangki Ranhill SAJ.

“Manakala bagi Sektor B, pemadaman dilakukan menggunakan satu aliran 300 kaki, dua pancutan, pam angkut serta bekalan air daripada lori tangki Ranhill SAJ,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Tambah Baharuddin, setakat ini tiada sebarang nyalaan baharu dikesan dan insiden berkenaan tidak melibatkan sebarang mangsa, manakala angin kuat di lokasi kejadian menjadi cabaran untuk memadamkan kebakaran tanah gambut berkenaan.

“Operasi pemadaman ketika ini menggembleng kekuatan 25 anggota bomba, 14 pegawai Ranhill SAJ dan empat anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM). Pasukan operasi turut menggunakan dron bagi menjalankan pemantauan dari udara untuk mengesan sebarang lokasi nyalaan baharu,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini