Ketibaan pelawat ke Malaysia meningkat 2.5% Januari-Jun 2026

Ketibaan pelawat ke Malaysia meningkat 2.5% Januari-Jun 2026

MALAYSIA mencatatkan lebih 21 juta ketibaan pelawat antarabangsa pada separuh pertama 2026, meningkat 2.5 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia mencatatkan lebih 21 juta ketibaan pelawat antarabangsa pada separuh pertama 2026, meningkat 2.5 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato Seri Tiong King Sing berkata, data Tourism Malaysia dan Jabatan Imigresen menunjukkan Malaysia menerima 21,118,039 pelawat dalam tempoh itu.

Katanya, ia menunjukkan peningkatan 514,958 ketibaan atau 2.5 peratus, berbanding 20,603,081 yang dicatatkan pada tempoh sama tahun lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Daripada 50 pasaran sumber pelawat antarabangsa utama Malaysia, ketibaan daripada 26 pasaran menurun manakala 24 lagi mencatatkan pertumbuhan.

“Ini ialah kadar pertumbuhan terendah bagi tempoh yang sama sejak pemulihan pasca pandemik bermula. Ia terutamanya disebabkan oleh kesan ketegangan geopolitik di Asia Barat terhadap operasi penerbangan antarabangsa, yang seterusnya menjejaskan pasaran perjalanan ke luar negara di seluruh dunia,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan bersama Laporan Prestasi Separuh Pertama 2026.

King Sing berkata, Eropah dan Asia Barat merupakan dua pasaran paling terjejas oleh konflik tersebut.

“Perancis merupakan satu-satunya daripada tiga pasaran Eropah yang mencatatkan pertumbuhan, manakala ketibaan dari Britain dan Jerman menurun,” katanya.

Selain itu katanya, ketibaan dari Türkiye, Russia, Sepanyol dan Poland meningkat, manakala pasaran sumber utama lain terjejas pada tahap berbeza akibat konflik di Asia Barat.

Ini termasuk Belanda, Itali dan Belgium di Eropah; Arab Saudi dan Oman serta Mesir di Afrika Utara.

“Konflik menyebabkan kenaikan harga bahan api, meningkatkan kos perjalanan ke luar negara dan menjejaskan perjalanan dari wilayah lain, termasuk India di Asia Selatan, serta Taipei Cina dan Korea Selatan di Asia Timur Laut,” katanya.

Dalam pada itu, King Sing berkata, ketibaan daripada pasaran sumber utama Malaysia di Asia Tenggara turut berkembang, termasuk Singapura dan Filipina, serta dari China, Asia Tengah, Oceania dan Amerika Utara.

“Ini membolehkan Malaysia mencatatkan peningkatan sederhana sebanyak 2.5 peratus dalam ketibaan pelawat antarabangsa pada separuh pertama tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu,” katanya.

Menurut beliau, pihaknya telah menyesuaikan strategi pasarannya sebagai tindak balas terhadap keadaan global yang berubah, dengan memberi tumpuan kepada pasaran Asia, khususnya Asia Tenggara dan Asia Timur Laut.

King Sing turut memaklumkan Malaysia menerima 88,058 penerbangan antarabangsa pada separuh pertama 2026, iaitu 3.7 peratus kurang daripada yang dijadualkan.

Katanya, 91,486 penerbangan antarabangsa dijadualkan tiba di Malaysia antara Januari dan Jun namun, 4,111 penerbangan berjadual dibatalkan akibat ketegangan geopolitik di Asia Barat.

Menurutnya, selepas pelarasan, sebanyak 683 penerbangan baharu ditambah, menjadikan jumlah keseluruhan penerbangan 3,428 kurang daripada jadual asal.

“Kesan konflik Asia Barat jelas tergambar dalam operasi penerbangan. Sejak konflik bermula pada Februari, bilangan penerbangan berjadual yang dibatalkan setiap bulan terus meningkat.

“Sembilan penerbangan dibatalkan pada Februari. Angka itu meningkat kepada lebih 300 pada Mac, hampir 1,000 pada April dan 1,419 penerbangan antarabangsa ke Malaysia pada Jun,” katanya.

Jelasnya, kapasiti tempat duduk di bawah unjuran awal, tetapi meningkat lebih satu juta berbanding tahun lalu.

“Syarikat-syarikat penerbangan pada asalnya telah merancang kekerapan penerbangan, jenis pesawat dan kapasiti tempat duduk bagi separuh pertama 2026, dengan kapasiti maksimum dijangka mencecah 18.34 juta tempat duduk.

“Namun, krisis Asia Barat menjejaskan penerbangan yang telah dijadualkan, termasuk pembatalan penerbangan, penerbangan yang tidak dapat beroperasi mengikut perancangan serta perubahan jenis pesawat. Pada masa yang sama, terdapat laluan yang menambah kekerapan penerbangan atau memperkenalkan penerbangan baharu.

“Selepas mengambil kira pertambahan dan pengurangan ini, kapasiti tempat duduk sebenar pada separuh pertama 2026 adalah kira-kira 17.63 juta,” katanya.

Bagaimanapun, jelas King Sing, ini tidak bermakna kapasiti penerbangan keseluruhan lebih rendah berbanding tahun lalu.

“Jika dibandingkan dengan 16.627 juta tempat duduk yang tersedia pada tempoh sama pada 2025, kapasitinya bagi separuh pertama tahun ini masih meningkat enam peratus, atau lebih satu juta tempat duduk.

“Ini bermaksud, walaupun kapasiti sebenar tidak mencapai unjuran asal, jumlah keseluruhan tempat duduk penerbangan masih meningkat berbanding tempoh sama tahun lalu,” tambahnya.

Katanya, jaringan penerbangan antarabangsa Malaysia juga terus berkembang apabila dari Januari hingga Julai tahun ini sebanyak 23 laluan baharu, 12 perkhidmatan penerbangan baharu ke Malaysia dan sembilan perkhidmatan penerbangan sewa khas diperkenalkan, menjadikan keseluruhannya 44 perkhidmatan penerbangan baharu.

King Sing berkata, penerbangan dari Asia Timur Laut mencatatkan peningkatan kapasiti tempat duduk terbesar berbanding tempoh sama tahun lalu, dengan tambahan lebih 500,000 tempat duduk, atau peningkatan 11.9 peratus.

Penerbangan dari negara ASEAN mencatatkan peningkatan kedua terbesar, dengan tambahan 376,423 tempat duduk, atau 4.5 peratus.

“Penurunan paling ketara dilihat pada penerbangan dari Asia Barat, apabila kapasiti tempat duduk merosot daripada lebih satu juta pada enam bulan pertama tahun lalu kepada 806,532 pada separuh pertama tahun ini.

“Ini termasuk penerbangan dari Eropah yang menggunakan Asia Barat sebagai hab transit, dengan kapasiti tempat duduk merosot lebih 20 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini