Ella kembali ke tanah kelahiran, cipta sejarah menerusi konsert 'sold out’ di Pulau Pinang - Utusan Malaysia

Ella kembali ke tanah kelahiran, cipta sejarah menerusi konsert ‘sold out’ di Pulau Pinang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PULAU PINANG: Ratu Rock negara, Ella, membuktikan pengaruh muziknya masih utuh apabila berjaya menghimpunkan ribuan peminat menerusi konsert Majlis Tertinggi Rockqueen Ella: Homecoming – Edisi Permata Biru, yang licin terjual di Setia SPICE Arena, Pulau Pinang pada 23 Ogos lalu.

Menurut penganjur, kepulangan penyanyi lagu Rama-Rama itu  ke tanah kelahirannya bukan sekadar persembahan biasa tetapi menjadi malam sambutan ulang tahun kelahirannya yang ke-60 bersama peminat setia.

Konsert anjuran Hitman Solutions dan Rockqueen ini turut membuktikan daya tarikan Ella apabila berjaya menarik peminat dari seluruh negara, termasuk dari Sumatera, Indonesia.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pulau Pinang sentiasa mempunyai tempat yang sangat istimewa di hati saya kerana di sinilah saya dilahirkan. Jadi apabila kita namakan konsert ini ‘Homecoming’, ia benar-benar membawa maksud pulang ke tempat awal permulaan.

“Lebih istimewa, saya dapat meraikan hari jadi bersama mereka yang dekat serta orang-orang yang saya sayangi. Melihat arena penuh malam ini merupakan satu hadiah yang sangat bermakna buat saya. Dengan kehadiran Dato’ Ramli Sarip, Ziana Zain dan seluruh pasukan Majlis Tertinggi Rockqueen bersama-sama malam ini, Ella rasa,kenangan ini akan kekal lama di hati kita semua,” ujar Ella.

Sebelum acara bermula, Ella meluangkan masa meraikan ulang tahun kelahirannya bersama pemegang tiket terpilih, sebelum meneruskan persembahan menerusi lagu popular seperti Kesal, Bayangan, Tiada Tangis Lagi, Kasih, Pedih serta medley Cinta Selembut Sutera dan Retak.

Dalam pada itu, malam tersebut bertambah meriah dengan kemunculan penyanyi legenda, Dato’ Ramli Sarip yang membawakan lagu Istilah Bercinta, Teratai dan berduet menerusi lagu  Kembara Kita.

Suasana konsert semakin hangat apabila Ziana Zain turut beraksi menerusi lagu Madah Berhelah sebelum menyampaikan medley Senja Nan Merah dan Nuri bersama Ella.

Ella berkata, kenangan menjayakan konsert bersama rakan artis di tempat kelahirannya akan sentiasa menjadi momen berharga.

“Dengan kehadiran Dato’ Ramli Sarip, Ziana Zain dan seluruh pasukan Majlis Tertinggi Rockqueen bersama-sama malam ini, saya rasa kenangan ini akan kekal lama dalam hati kita. Muzik bukan sahaja menyatukan kita, tapi buat kita lebih menghargai satu sama lain,” katanya.

Selain acara hiburan, konsert ini turut menjalankan kempen Peace.Love.Rindu dengan menyumbang RM2 daripada setiap tiket yang terjual kepada ABIM Pulau Pinang, Yayasan Kebajikan Negara (YKN) dan Yayasan Kebajikan Artis Tanahair.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasa Hitman Group, Rohit Rampal, berkata, sambutan menggalakkan itu membuktikan karya tempatan terus mendapat tempat di hati peminat.

“Ella merupakan sebahagian penting daripada sejarah muzik Malaysia. Apa yang kita saksikan malam ini membuktikan muzik tempatan mempunyai kekuatan untuk menyatukan pelbagai generasi.

“Membawa konsert ini ke Pulau Pinang bersama Dato’ Ramli Sarip dan Ziana Zain dengan sambutan tiket  ‘sold out’ menjadikan malam ini sangat istimewa,” katanya.

Sementara itu, Ketua Projek Khas Hitman Solutions, Keeran D., berkata, perancangan konsert tersebut disasarkan untuk memberi pengalaman lebih bermakna kepada penyanyi berkenaan dan peminatnya.

“Majlis Tertinggi Rockqueen kini bukan lagi sekadar sebuah persembahan, ia telah menjadi satu pengalaman yang turut dimiliki oleh peminat Ella.

“Untuk Homecoming, kami mahu mencipta sesuatu yang lebih dekat dengan Ella sendiri iaitu kepulangannya ke tempat kelahiran, sambutan hari jadi dan peluang meraikannya bersama peminat, di mana sambutan ‘sold out’ ini adalah penutup yang sangat bermakna,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini