Empat NGO Perlis buat laporan polis sekat Himpunan Merah, dikhuatiri cetus ketegangan - Utusan Malaysia

Empat NGO Perlis buat laporan polis sekat Himpunan Merah, dikhuatiri cetus ketegangan

EMPAT NGO negeri ini membuat laporan polis berhubung dakwaan penganjuran himpunan merah dijadual berlangsung pada 30 Ogos ini, susulan perobohan Kuil Veeramakaliamman di Bukit Lagi.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Empat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) negeri ini membuat laporan polis berhubung dakwaan penganjuran himpunan merah dijadual berlangsung pada 30 Ogos ini.

Himpunan tersebut susulan perobohan Kuil Veeramakaliamman di Bukit Lagi di sini.

NGO yang tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar di sini hari ini masing-masing Pertubuhan Sukarelawan Malaysia (MYVO), Pertubuhan Kebajikan Islam Arah Terpuji Sahsiah Negeri Perlis (ATS), Persatuan Nur Kasih dan Pertubuhan Anak Jati Perlis.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pengerusi MYVO, Dr. Ahmad Fadly Abdul Rahman yang mewakli NGO berkenaan berkata, hantaran di media sosial membabitkan penganjuran himpunan berkenaan didakwa mempunyai unsur 3R.

Beliau berkata, kandungan berkenaan mempunyai unsur berkaitan 3R, khususnya kaum dan agama serta berpotensi menimbulkan ketegangan dan menjejaskan keharmonian masyarakat sekiranya tidak ditangani sewajarnya.

“Sebarang isu berkaitan agama, kaum dan kepentingan masyarakat perlu ditangani secara berhemah, profesional dan berlandaskan undang-undang tanpa memberi ruang kepada mana-mana pihak untuk mencetuskan ketegangan antara kaum.

‘Kita bimbang sekiranya perhimpunan tersebut diteruskan, ia berpotensi mengganggu ketenteraman awam dan mencetuskan reaksi balas daripada pihak lain, sekali gus mengeruhkan keadaan,” katanya.

Mereka memohon Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan berdasarkan peruntukan undang-undang bagi memastikan keselamatan, ketenteraman awam dan keharmonian terus terpelihara.

Semua pihak turut diseru agar tidak mengambil tindakan melulu atau melakukan provokasi, sebaliknya menyerahkan perkara berkenaan kepada pihak berkuasa untuk siasatan dan tindakan selanjutnya.

Semoga ia diselesaikan melalui saluran undang-undang serta pendekatan yang rasional demi memastikan keamanan dan keharmonian khususnya menjelang sambutan Hari Kebangsaan ke-69.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini