Pintu sempadan lengang

Pintu sempadan lengang, pelancong ke Thailand merosot lebih 50 peratus

KEADAAN di pintu masuk sempadan Malaysia-Thailand lenggang meskipun cuti umum Maulidur Rasul berikutan ketegangan dan insiden pengeboman di selatan Thailand di Padang Besar, Perlis semalam. – UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Insiden keganasan dan letupan bom di pelbagai lokasi di selatan Thailand Sabtu lalu turut memberi kesan kepada kehadiran pelancong Malaysia ke negara jiran itu apabila kemerosotan lebih 50 peratus direkodkan.

Tinjauan Utusan Malaysia di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Padang Besar mendapati keadaan lengang dengan kelihatan beberapa kenderaan sahaja memasuki negara jiran berkenaan.

Kemasukan pengunjung ke Thailand bersempena cuti umum Maulidur Rasul itu tidak ramai seperti kelaziman setiap kali cuti sekolah.

Memuatkan artikel berkaitan…

Presiden Persatuan Pelancongan dan Perdagangan Halal Thailand-ASEAN, Aida Oujeh berkata, insiden keganasan dan bom di selatan Thailand itu sememangnya memberi kesan namun tidak menjejaskan beberapa lokasi pelancongan seperti Krabi, Satun dan Hatyai.

Katanya, kumpulan pemisah berkenaan juga tidak menjadikan lokasi pelancongan sebagai sasaran, sebaliknya tindakan mereka itu sekadar ‘drama’ untuk menarik perhatian kerajaan Thailand.

“Kumpulan tersebut tidak menyasarkan nyawa orang atau lokasi tumpuan, sebaliknya tindakan pengeboman itu dilihat sering kali disasarkan seperti di kawasan balai polis, pusat kerajaan dan jalan-jalan yang tidak ada orang.

“Setakat ini, hotel-hotel seperti di Hatyai, Satun masih mendapat tempahan pelancong,” katanya.

Insiden keganasan dan letupan bom di 51 lokasi di selatan Thailand Sabtu lalu menyebabkan penduduk ketakutan dan lebih berwaspada. Majoriti memilih untuk berkurung di rumah terutama pada waktu malam kerana serangan seterusnya boleh berlaku pada bila-bila masa.

Peniaga di Padang Besar, Yahya Hussin, 48, berkata, keadaan di kawasan sempadan berkemungkinan lengang disebabkan cuti singkat dan kebanyakan orang lebih memilih untuk berehat di rumah.

“Insiden pengeboman yang berlaku di selatan Thailand itu lebih banyak memberi kesan kepada masyarakat yang menetap berhampiran kawasan Yala, Narathiwat dan Pattani,” katanya.

Dalam pada itu, Pemangku Ketua Polis negeri, Senior Asisten Komisioner Zaihairul Idrus berkata, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis bersama Pasukan Gerakan Am (PGA) telah menerima arahan meningkatkan kawalan dan risikan keselamatan di kawasan sempadan negeri ini.

Orang ramai dinasihatkan berhati-hati sekiranya terdapat keperluan berkunjung ke negara jiran.

“Tiada maklumat ancaman diterima di sekitar kawasan sempadan negeri dan kita bersama PGA diarahkan meningkatkan kawalan serta risikan keselamatan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini