Deklamasi puisi pupuk semangat patriotisme pelajar

Deklamasi puisi pupuk semangat patriotisme pelajar

DR. Mohd. Azam Ahmad (10 dari kiri) bersama tetamu kehormat dan barisan peserta selepas menyampaikan hadiah kepada peserta Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan Sekolah-sekolah Menengah Peringkat Kebangsaan Kali ke-2 2026 di ibu negara baru-baru ini. – UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Puisi bukan sekadar himpunan bait-bait kata-kata indah, sebaliknya menjadi medium menyemai semangat patriotisme, menzahirkan rasa cinta kepada negara serta memupuk penghargaan terhadap keindahan bahasa dan sastera dalam kalangan generasi muda.
Semangat itu diterjemahkan menerusi Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan (SDPK) yang bukan sahaja mengetengahkan bakat dalam seni deklamasi, malah menjadi platform memartabatkan sastera sebagai wadah menyampaikan mesej perjuangan, kemerdekaan dan kedaulatan negara kepada masyarakat.

Bagi Johan Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan Sekolah Menengah (SDPKSM) Ke-2 Tahun 2026 peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Adeed Haikal Muhammad Asri, kemenangan yang diraih amat bermakna kerana merupakan penyertaan pertamanya dalam pertandingan tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

 

Katanya, dia berasa sangat gembira apabila dinobatkan sebagai juara dan menyifatkan kejayaan itu sebagai hasil bimbingan kakaknya yang banyak membantunya membuat persediaan sepanjang pertandingan.

“Minat saya terhadap deklamasi puisi mula timbul ketika berusia 13 tahun selepas melihat kakak saya gemar membaca dan bersajak.

“Ayah dan kakak saya yang banyak memberi sokongan kepada saya untuk menceburi bidang ini. Mereka yang sentiasa memberi semangat sehingga saya terus meminati puisi,” katanya kepada Utusan Pelajar.

Pelajar yang berumur 16 tahun itu berkata, setiap kali mendeklamasikan puisi, dia akan memahami terlebih dahulu maksud setiap bait sebelum menyampaikannya dengan penuh penghayatan bagi menzahirkan semangat patriotisme terhadap negara.

“Bidang sastera mampu menambah ilmu pengetahuan, khususnya dari segi bahasa, selain membuka mata masyarakat terhadap keindahan bahasa yang selama ini mungkin tidak disedari.

“Persepsi sesetengah masyarakat yang menganggap sastera semakin kurang mendapat perhatian adalah kerana mereka sendiri belum mengenali bidang ini.

“Apabila mereka mula mendalaminya, mereka akan sedar betapa indahnya bahasa yang kita miliki,” katanya.

Pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Tasik itu berharap agar lebih banyak pertandingan seperti SDPK diadakan bagi menarik minat generasi muda mendekati dunia sastera.

“Dalam masa yang sama, acara ini menggalakkan budaya membaca untuk memahami maksud di sebalik setiap karya sasterawan di negara kita,” katanya.

 

Seterusnya, Naib Johan kategori sama, Adyana Nafiesya Ady Rizalman, 15, berkata, dia mula menyertai pertandingan sajak, syair dan puisi sejak berusia enam tahun.

Pelajar Sekolah Seni Malaysia Kuala Lumpur itu berkata, bakatnya terus diasah oleh guru ketika di sekolah rendah, manakala ibunya yang juga seorang guru sentiasa memberi galakan serta menjadi guru pengiring setiap kali dia menyertai pertandingan di luar sekolah.

Nur Airis Qisya Qairina Nurul Firdaus dari SMK Desa Tun Hussein Onn ketika mendeklamasikan puisi Genta Kedaulatan karya Mohamad Saleeh Rahamad.

 

“Mendeklamasikan puisi kemerdekaan bukan sahaja dapat menghidupkan semangat patriotisme dalam diri, malah ia dapat menyampaikan semangat tersebut kepada para pendengar.

“Anak-anak muda di luar sana perlu memperbanyak pembacaan karya-karya sasterawan negara kita.
“Selain itu juga, dengan mengunjungi tempat yang menghidupkan dunia sastera seperti Rumah Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) ini adalah satu pendekatan yang bagus bagi menghayati keindahan bahasa dengan lebih mendalam.

“Saya berharap pertandingan seperti ini dapat dihebahkan dan diperluaskan lagi supaya lebih ramai anak muda berminat untuk berkecimpung dalam dunia sastera,” katanya.

Sementara itu, Presiden PENA, Dr. Mohamad Saleeh Rahamad berkata, objektif utama penganjuran SDPK adalah untuk menyemarakkan semangat patriotisme dan nasionalisme dalam kalangan masyarakat.

 

 

“Semangat ini perlu dipupuk dan bukannya dipaksakan, manakala sastera menjadi medium untuk menyampaikan mesej perjuangan kemerdekaan kepada masyarakat.
“Melalui sastera, semangat perjuangan kemerdekaan diucapkan dan dilantunkan kepada masyarakat dengan bait-bait puisi supaya meresap ke dalam jiwa pendengar dan menyedarkan mereka bahawa kemerdekaan, kebebasan serta kedaulatan negara perlu dipertahankan.
“Tema SDPK tahun ini ialah Maruah Kedaulatan Negara, jadi semua peserta menggunakan teks daripada antologi puisi terbaharu Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA), Atma Berdaulat, yang menghimpunkan karya berkaitan maruah dan kedaulatan negara.

 

 

 

“Penganjuran program seperti SDPK penting bagi memastikan kesinambungan perjuangan memartabatkan sastera diteruskan oleh generasi muda hari ini.

“Hal ini adalah untuk mereka bersedia menggalas amanah membina sebuah negara bangsa yang yakin terhadap kemerdekaan dan kedaulatannya,” katanya.

Dalam pada itu Ketua Pengarah Pendidikan , Datuk Dr. Mohd. Azam Ahmad berkata, inisiatif seperti sayembara deklarasi puisi bukan sekadar agenda memenuhi tanggungjawab atau menyambut hari kemerdekaan tetapi juga tentang membina negara bangsa dalam dunia tanpa sempadan.

“Ini terutamanya apabila generasi muda mudah terpengaruh dengan nilai-nilai yang yang tidak selaras dengan nilai-nilai yang dipegang oleh rakyat Malaysia sendiri,” ujarnya.

 

 

Katanya, perkara negatif tidak semestinya berpunca dari bilik darjah tetapi dalam institusi masyarakat yang mempunyai pengaruh besar secara umumnya.
“Anak kita hari ini melalui alat digital boleh melihat filem Korea atau juga filem Jepun dengan semangat kamikazenya.
“Jadi, apabila mereka rasa tertekan atau kecewa, semangat kamikaze yang ditontonnya itu telah mengajar untuk melakukan perkara seperti terjun bangunan, bunuh diri, minum racun, dan sebagainya,” ujarnya.

Beliau berkata, kemerdekaan merupakan satu konsep yang amat berharga dan mesti dipertahankan sepenuhnya.

“Apabila kita lihat pada pejuang-pejuang negara dari tahun 1511 hingga tahun 1957, nasib yang dialami mereka adalah pelbagai.
“Ada antara mereka yang mati dibunuh atau diburu hingga perlu lari ke dalam hutan dan ini adalah perkara yang perlu diterapkan dalam generasi kini tentang kepentingan kemerdekaan,” ujarnya.

Dalam pada itu, juara Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan Sekolah-Sekolah Menengah Peringkat Kebangsaan 2026 sebagai wakil negeri Johor, Muhammad Aidil Firdaus berkata, sejarah ialah asasnya dalam kehidupan sebagai seorang penyajak.
Muhammad Aidil berkata, anak muda generasi kini juga perlu cakna dengan nilai sastera, terutamanya sebagai lambang identiti negara dan bangsa

Tambahnya, beliau juga merancang untuk memupuk nilai puisi dalam kalangan rakan-rakan di sekolah agar mereka lebih mengenali koleksi sastera negara serta nilainya.

“Pertama sekali, mereka mesti faham dahulu kerana daripada kefahaman dan penghadaman sajak itulah kita boleh buat intonasi dan gerakan yang sesuai serta mimik muka yang betul-betul berkaitan dengan sajak.

“Kedua, jangan berlatih dengan terlalu ramai jurulatih tetapi hanya seorang jurulatih sahaja kerana fokus sebegitu adalah penting dalam membolehkan kita untuk memberikan persembahan yang terbaik,” jelasnya.

Bagi kategori terbuka pula, Muhamad Syahmi Samsuddin muncul johan untuk Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan Ke-40 Tahun 2026.

Guru mata pelajaran Kesusasteraan Melayu Komunikatif Tingkatan Enam di SMK Tun Ismail, Batu Pahat, Johor itu berkata, kejayaan tersebut merupakan hasil tunjuk ajar ibunya, Rohaidah Yon, selain sokongan isteri serta doa daripada ahli keluarganya.

 

“Ibu saya merupakan individu yang mula-mula menggalakkan saya menyertai pertandingan deklamasi puisi sejak kecil.
“Puisi yang bertajuk Jangan Pudarkan Kegemilangan Maruah Nusa yang dipersembahkan yang saya deklamasi merupakan hasil nukilan ibu saya,” katanya.

Muhammad Syahmi berkata, bidang sastera kini berkembang seiring arus pemodenan dan mampu diperluaskan menerusi pelbagai platform multimedia termasuk media sosial seperti TikTok. “Kalau orang luar boleh mengagungkan karya-karya mereka seperti Harry Potter, kenapa tidak kita?-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini