Pembangunan Sabah perlu seiring pembangunan insan – Hajiji

Pembangunan Sabah perlu seiring pembangunan insan – Hajiji

HAJIJI Noor mengiringi Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Negeri Sabah 1448H/2026M di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Kota Kinabalu, hari ini. – IHSAN JABATAN KETUA MENTERI SABAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Kemajuan sebenar Sabah tidak boleh hanya diukur berdasarkan pembangunan fizikal, pertumbuhan ekonomi dan kecanggihan teknologi, sebaliknya perlu disertai pembangunan insan yang berilmu, berintegriti, berakhlak serta bertanggungjawab terhadap masyarakat.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pengajaran daripada sirah Rasulullah SAW menunjukkan pembangunan sesebuah masyarakat perlu dilaksanakan secara menyeluruh dengan memperkukuh persaudaraan, memelihara kebajikan masyarakat dan menjadikan keadilan sebagai asas kehidupan bersama.

Katanya, konsep Rahmatan Lil ‘Alamin yang dibawa Rasulullah SAW mempunyai pengertian luas merangkumi kasih sayang, keadilan, kebijaksanaan, toleransi, amanah dan penghormatan terhadap martabat manusia.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Baginda membuktikan bahawa kekuatan kepemimpinan bukan hanya terletak kepada kekuasaan, tetapi kepada keupayaan membina kepercayaan, berlaku adil serta memberikan manfaat kepada masyarakat,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Negeri Sabah 1448H/2026M di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini hari ini.

Hajiji berkata, kerajaan negeri sentiasa komited memastikan pembangunan yang dilaksanakan memberi manfaat seluas-luasnya kepada rakyat serta bersifat inklusif dengan mengambil kira kepentingan masyarakat di bandar dan luar bandar.

“Kita mahu membina sebuah negeri yang bukan sahaja maju dari sudut ekonomi dan pembangunan, tetapi turut mempunyai masyarakat yang kukuh nilai moralnya, tinggi integritinya dan erat hubungan sesama mereka,” katanya.

Menurut beliau, nilai yang ditunjukkan Rasulullah SAW seperti amanah, keadilan, kesungguhan, ihsan dan keprihatinan perlu terus dijadikan inspirasi dalam melaksanakan setiap tanggungjawab yang diamanahkan.

Katanya, amanah bagi penjawat awam perlu diterjemahkan melalui penyampaian perkhidmatan yang cekap, telus dan berintegriti, manakala pemimpin perlu meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan.

“Bagi masyarakat pula, amanah diterjemahkan melalui sikap bertanggungjawab, menghormati undang-undang serta bersama-sama memelihara keamanan dan keharmonian negeri,” katanya.

Dalam pada itu, Hajiji berkata, kepelbagaian kaum, agama dan budaya di Sabah perlu terus dipelihara sebagai kekuatan yang menjadi asas perpaduan dan keharmonian negeri.

Beliau menyeru rakyat supaya tidak menjadikan perbezaan pandangan, fahaman atau latar belakang sebagai punca hubungan sesama masyarakat menjadi renggang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini