Petronas Dagangan catat untung bersih RM387.2 juta - Utusan Malaysia

Petronas Dagangan catat untung bersih RM387.2 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Petronas Dagangan Bhd mencatatkan peningkatan hampir 46 peratus keuntungan bersih kepada RM387.2 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2026, berbanding RM265.5 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

Peningkatan prestasi itu didorong terutamanya oleh keuntungan kasar lebih tinggi daripada segmen komersial, selaras dengan trend harga minyak, meskipun sebahagiannya diimbangi margin lebih rendah dalam segmen runcit dan peningkatan perbelanjaan.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata hasil bagi suku berkenaan melonjak lebih 77 peratus kepada RM16.1 bilion berbanding RM9.07 bilion pada suku kedua 2025.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, prestasi tersebut turut disokong oleh margin lebih baik daripada segmen komersial dan runcit, yang sebahagiannya diimbangi peningkatan perbelanjaan.

“Prestasi segmen komersial adalah selaras dengan trend harga minyak, manakala segmen runcit mencatatkan keuntungan lebih rendah, terutamanya disebabkan kos produk yang lebih tinggi, yang sebahagiannya diimbangi oleh peningkatan jumlah jualan,” katanya.

Petronas Dagangan berkata, operasinya pada suku kedua terus dipengaruhi turun naik harga minyak mentah, manakala jumlah jualan meningkat empat peratus susulan permintaan lebih tinggi, khususnya bagi Mogas.

Lembaga pengarah turut mengisytiharkan dividen interim sebanyak 25 sen sesaham, dengan tarikh kelayakan pada 9 September 2026 dan pembayaran pada 23 September 2026.

Mengulas prospek, kumpulan itu menjangkakan perkembangan geopolitik di Asia Barat terus mempengaruhi pasaran tenaga global dan prospek harga minyak pada separuh kedua 2026.

Katanya, persekitaran operasi global dijangka kekal dinamik, dipengaruhi perkembangan geopolitik, pergerakan harga komoditi serta perubahan langkah dasar.

“Walaupun berdepan cabaran luaran ini, asas permintaan domestik Malaysia dijangka kekal menyokong, disokong oleh perbelanjaan isi rumah yang berterusan, aktiviti pelancongan yang stabil serta inflasi yang terkawal.

“Keadaan ini turut diperkukuh oleh langkah dasar domestik, termasuk subsidi bahan api bersasar, yang dijangka mengekalkan mobiliti, permintaan bahan api dan aktiviti runcit,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini