Keseronokan konvoi perlu berpada-pada

Keseronokan konvoi perlu berpada-pada

KEJAYAAN acara permotoran bukan terletak pada jumlah kenderaan yang berhimpun atau kemeriahan program tetapi pada kemampuan memastikan semua peserta dan pengunjung pulang dengan selamat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SABAN tahun, pelbagai program permotoran menghimpunkan ribuan peminat dari seluruh negara. Konvoi, pertemuan kelab kenderaan, perlumbaan tertutup dan karnival automotif bukan sahaja merancakkan industri permotoran, malah memberi limpahan kepada sektor pelancongan, ekonomi setempat serta pembangunan bakat sukan bermotor.

Namun, beberapa insiden yang mengakibatkan kecederaan dan kehilangan nyawa kebelakangan ini mengingatkan kita bahawa setiap aktiviti berkaitan permotoran perlu meletakkan keselamatan sebagai keutamaan. Keseronokan tidak seharusnya hadir bersama risiko yang boleh dielakkan.

Hakikatnya, keselamatan jalan raya masih menjadi cabaran besar di negara ini. Statistik Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Polis Diraja Malaysia menunjukkan kemalangan terus berlaku pada skala membimbangkan. 

Pada 2025, sebanyak 4,267 penunggang motosikal maut, iaitu kira-kira 65 peratus daripada 6,581 kematian akibat kemalangan jalan raya. 

Angka tersebut jelas menunjukkan penunggang motosikal antara pengguna jalan raya yang paling terdedah kepada bahaya.

Dalam keadaan ini, acara permotoran wajar dimanfaatkan untuk menyemai budaya selamat, bukan sekadar menjadi medan menghimpunkan peserta. 

Kejayaan sesebuah program tidak patut dinilai berdasarkan kelajuan, aksi atau jumlah kehadiran semata-mata, sebaliknya kemampuan memastikan semua yang terlibat kembali ke rumah tanpa sebarang musibah.

Tanggungjawab berkenaan bermula sebelum enjin dihidupkan. Penganjur perlu menjalankan penilaian risiko, memilih laluan bersesuaian, mengurus aliran trafik, menyediakan pasukan perubatan serta menetapkan prosedur kecemasan yang jelas. Taklimat keselamatan dan pemeriksaan kenderaan juga perlu menjadi sebahagian daripada persiapan, bukan sekadar pelengkap program.

Peserta pula perlu memahami kemahiran menunggang atau memandu belum tentu menjamin keselamatan. 

Keletihan, cuaca buruk, keadaan jalan, kerosakan mekanikal dan sikap terlalu yakin boleh mengundang padah. Pemakaian peralatan perlindungan, pematuhan arahan penganjur serta disiplin ketika berada di jalan raya perlu menjadi amalan setiap masa.

Lebih membimbangkan, media sosial turut mendorong segelintir individu melakukan aksi berbahaya demi meraih perhatian. Tindakan sebegini bukan sahaja mempertaruhkan nyawa sendiri, malah berpotensi mempengaruhi orang lain untuk meniru perbuatan sama. 

Dunia permotoran seharusnya menjadi ruang mempamerkan kemahiran, disiplin dan semangat kesukanan, bukannya keberanian yang mengabaikan risiko.

Pada masa sama, minat terhadap sukan permotoran tidak wajar dilihat secara negatif. Malaysia memiliki ramai pelumba dan atlet yang berjaya mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa. 

Pencapaian mereka lahir daripada latihan berdisiplin, pematuhan peraturan serta pengurusan keselamatan yang rapi. Ini membuktikan minat terhadap permotoran boleh berkembang secara positif apabila disokong ekosistem yang betul.

Justeru, setiap penganjuran boleh dijadikan medan pendidikan keselamatan melalui taklimat, pemeriksaan kenderaan, demonstrasi penggunaan peralatan perlindungan dan kempen kesedaran. 

Penganjur, peserta, agensi kerajaan, pertubuhan berkaitan, penaja serta komuniti perlu bergerak seiring bagi membentuk persekitaran yang lebih bertanggungjawab.

Akhirnya, kejayaan acara permotoran bukan terletak pada jumlah kenderaan yang berhimpun atau kemeriahan program tetapi pada kemampuan memastikan semua peserta dan pengunjung pulang dengan selamat. 

Minat terhadap dunia permotoran boleh terus diraikan, namun keselamatan mesti menjadi budaya yang tidak pernah diketepikan. Nyawa manusia jauh lebih berharga daripada sebarang aksi, kelajuan atau kemeriahan acara.-UTUSAN

 

MOHAMAD AMIRUL MOHD. ADNAN ALI

Ketua Seksyen Komunikasi Korporat, 

Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat (PSPK), 

Universiti Putra Malaysia (UPM)

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN