LAS VEGAS: Kebakaran belukar yang merebak pantas memaksa penduduk di barat laut Reno meninggalkan kediaman mereka, selain mendorong Gabenor Nevada, Joe Lombardo, mengisytiharkan darurat di Washoe County.
Kebakaran yang dikenali sebagai Hawk Fire itu merebak sehingga lebih 4,200 hektar menjelang lewat Sabtu, tanpa sebarang kawasan dilaporkan berjaya dikawal, menurut pegawai bomba negeri. Punca kebakaran masih belum dikenal pasti.
“Ini situasi yang aktif dan berubah dengan pantas. Saya menggesa semua penduduk di kawasan terjejas supaya terus berwaspada,” kata Lombardo dalam hantaran di X.
Beliau turut menggesa penduduk yang diarahkan berpindah supaya berbuat demikian dengan segera.
Datuk Bandar Reno, Hillary Schieve berkata, beberapa struktur bangunan sudah musnah dalam kebakaran itu dan menegaskan keselamatan nyawa lebih penting berbanding harta benda.
Kebakaran itu dilihat merebak dengan pantas menuruni cerun ke arah kawasan kejiranan Reno.
Kira-kira 400 anggota bomba dikerahkan untuk memadam kebakaran, dengan bantuan helikopter yang beroperasi sepanjang malam, menurut pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS).
Bagaimanapun, angin kencang menyukarkan usaha mengawal kebakaran yang merebak pantas sepanjang hari berikutan tiupan angin kuat, kelembapan rendah dan keadaan semak yang kering.
Arahan pemindahan segera dikeluarkan kepada penduduk di lebih 1,000 kediaman dan turut diperluaskan sehingga meliputi kawasan kejiranan Somersett dan beberapa kawasan di utara.-AGENSI









