Kadar sewaan dewan DBKL bagi program Kemas wajar dikurangkan 

Kadar sewaan dewan DBKL bagi program Kemas wajar dikurangkan 

KUALA LUMPUR 23 OGOS 2026. Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani bergambar bersama guru-guru dan murid-murid Tabika Kemas dari Wilayah Persekutuan ketika Perasmian Prog-Alpha Gen Talent @ Kemas 2026 di Arena Sukan KL. Foto : Saddam Yusoff
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kadar sewaan dewan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi program Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) wajar dikurangkan atau dikecualikan kerana kebanyakan peserta terdiri daripada ibu bapa dan keluarga berpendapatan rendah. 

Pengerusi Komuniti KEMAS Wilayah Persekutuan Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata,  kadar sewaan asal yang ditetapkan dianggap amat tinggi dan perkara tersebut amatlah membebankan ibu bapa yang terlibat.

Katanya, pihaknya akan membawa isu berkenaan kepada Kabinet dalam masa terdekat untuk dibincangkan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“DBKL perlu cakna kerana program berkenaan bukan dianjurkan pada setiap minggu atau setiap bulan oleh pihak KEMAS.

“KEMAS Wilayah Persekutuan perlu membayar kira-kira RM15,000 bagi menggunakan dewan untuk penganjuran program seperti Alpha Gen Talent, dan kadar sewaan itu dianggap tinggi kerana program berkenaan bukan dianjurkan setiap minggu,” katanya pada sidang akhbar Perasmian Prog-Alpha Gen Talent @ Kemas di Arena Sukan KL, hari ini.

Beliau berharap supaya pihak DBKL dan pengurusan dewan mempertimbangkan pemberian penggunaan percuma sekurang-kurangnya setahun sekali kepada program KEMAS kerana warga terlibat adalah keluarga berpendapatan rendah.

Katanya, kerajaan perlu melihat penggunaan dewan DBKL bagi program berkenaan sebagai satu bentuk sumbangan kepada masyarakat, bukannya semata-mata sumber hasil.

“Jika kos pembersihan menjadi alasan dikenakan bayaran,  saya bersedia menyumbang bagi menampung keperluan pembersihan dan penyelenggaraan dewan tersebut.

“Bayaran RM15,000 itu dilihat membebankan KEMAS Wilayah Persekutuan, sekali gus boleh menjejaskan penganjuran program untuk golongan berpendapatan rendah di Kuala Lumpur.

“Sehubungan itu, saya akan berbincang dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh bagi mendapatkan pertimbangan terhadap cadangan tersebut pada peringkat kerajaan.

“Saya harap supaya Datuk Bandar Kuala Lumpur dan pengurusan dewan mempertimbangkan pemberian penggunaan percuma sekurang-kurangnya setahun sekali kepada program KEMAS.

Tambah Johari, sekiranya bayaran masih perlu dikenakan, kadar sewaan wajar dikurangkan kepada tidak lebih RM5,000 bagi mengurangkan beban pihak penganjur program.

“Ibu bapa yang hadir turut membayar cukai taksiran dan bayaran berkaitan, justeru kemudahan dewan DBKL wajar dipertimbangkan sebagai sumbangan sosial,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini