KUALA LUMPUR: Penampilan penyanyi dan pemenang vokal terbaik Anugerah Juara Lagu Ke-39 (AJL39), Ernie Zakri, yang kerap memakai gincu berona gelap baru-baru ini adalah disengajakan bagi menterjemahkan emosi lagu baharunya berjudul Sejambak Bunga.
Ernie atau Nur Ernie Shahirah binti Zakri, 34, berkata, imej baharu itu terhasil menerusi perbincangan bersama pasukannya dalam menyuntik kelainan dalam projek terbaharunya itu.
“Sebenarnya, terima kasih kerana menyedari perkara itu kerana ia bermakna semua sangat memberi perhatian kepada imej saya. Hasil perbincangan bersama pasukan, kami mahu memberitahu orang ramai tentang perasaan dan impak projek ini selain menerusi lagu.
“Jadi, salah satu caranya adalah menerusi fesyen serta solekan. Saya berasakan sebelum ini saya jarang membawakan imej gelap dalam fesyen mahupun solekan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Ernie Zakri berkata demikian ketika ditemui semasa promosi lagunya itu di MRT Bukit Bintang, di sini, pada Jumaat.
Tambah penyanyi lagu masing-masing yang mencecah 67 juta tontonan itu, imej penampilannya sebelum ini lebih cenderung kepada konsep yang lebih lembut selaras dengan pelancaran album Aura.
Namun, untuk Sejambak Bunga, konsep yang lebih berani dan tegas diperlukan supaya selari dengan jalan cerita lagu berkenaan.
“Sebelum ini, imej saya sesuai dengan album Aura yang sangat positif dan keperempuanan dengan warna merah jambu. Namun kali ini, saya berbual dengan pasukan dan kami tampil dengan imej yang sangat terus terang ini.
“Saya pasti ramai yang bertanya mengapa saya kerap keluar dengan gincu hitam atau gelap. Penampilan itu dicipta khas kerana ia sangat sesuai dengan lagu Sejambak Bunga,” katanya.
Perubahan gaya Ernie yang tegas ini membuktikan dia sememangnya dikhianati oleh orang terdekat dan dia meluahkan perasaannya itu menerusi Sejambak Bunga tanpa niat mahu membalas dendam tetapi berharap sang penikam itu memahaminya.









