Gajah sesat gemparkan penduduk Manir

Gajah sesat gemparkan penduduk Manir

GAJAH yang berkeliaran di Kampung Pengkalan Gelugor, Jeram, Manir, Terengganu sejak kelmarin membimbangkan penduduk.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Kemunculan seekor gajah yang berkeliaran di Kampung Pengkalan Gelugor, Jeram, Manir di sini sejak kelmarin menggemparkan penduduk apabila haiwan ber­kenaan turut merosakkan ta­naman orang kampung.

Seorang penduduk, Mohd. Hazwan Mohd, 34, berkata, kemunculan gajah berkenaan kejadian pertama berlaku di kawasan kampung tersebut.

Katanya, penduduk terkejut dan kini lebih berjaga-jaga kerana bimbang keselamatan mereka selain risau haiwan berkenaan merosakkan tanaman serta harta benda.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Setakat ini ada beberapa kawasan kebun penduduk diro­sakkan gajah ini. Kemungkinan ia kelaparan kerana tersesat dari kawanan,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhi­litan) Terengganu, Dennis Ten Choon Yung berkata, pihaknya menerima aduan malam kelmarin mengenai seekor gajah yang berkeliaran di Kampung Pengkalan Gelugor.

“Pemeriksaan yang dijalankan kakitangan Perhilitan Daerah Kuala Terengganu mendapati aduan itu berasas apabila gajah berkenaan memusnahkan tanaman penduduk termasuk pokok pisang dan tebu.

“Gajah berkenaan juga berkeliaran di sekitar kampung dan keadaan itu menimbulkan isu keselamatan kepada penduduk,” katanya.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati hutan simpan terdekat ialah Hutan Simpan (HS) Belara namun tiada rekod kehadiran gajah sebelum ini di kawasan berkenaan.

Menurutnya, pihaknya kini menjalankan pemantauan dan kawalan di sekitar kawasan aduan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta agensi keselamatan bagi memastikan keselamatan penduduk.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini