Allah jaga saya - Zarif Ghazzi lupakan dendam dikhianati kawan sendiri - Utusan Malaysia

Allah jaga saya – Zarif Ghazzi lupakan dendam dikhianati kawan sendiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pernah melalui episod dikhianati rakan yang dipercayai, pelakon Zarif Ghazzi memilih untuk tidak menyimpan dendam selagi perkara itu tidak menjejaskan atau mencederakan dirinya secara fizikal.

Menurut Zarif, ketika berdepan situasi berkenaan, dia tidak melenting atau mengamuk kerana perasaan sedih lebih kuat menguasai dirinya berbanding amarah.

“Pernah saya dikhianati sebelum ini. Tetapi bagi saya, itu hanyalah masalah biasa dalam kehidupan. Selagi perkara itu tidak melibatkan kecederaan atau menjejaskan diri saya secara melampau, saya tidak ada masalah.

“Saya bukan seorang yang pemarah. Jadi, kalau dikhianati kawan sendiri, saya lebih kepada rasa sedih kerana saya percayakan dia sebagai kawan dan saya sayang kawan saya,” katanya.

Zarif ditemui pada majlis pelancaran drama terbaharunya, Cela, yang turut mengetengahkan tema pengkhianatan dalam persahabatan.

Mengulas mengenai cara berdepan masalah kepercayaan dalam persahabatan selepas ini, pelakon yang memegang watak Luth itu mempunyai pendekatan tersendiri bagi melindungi emosinya.

Jelas Zarif, dia kini lebih selektif dalam berkongsi perkara peribadi dan memilih untuk menjadi pendengar yang baik bagi mengelakkan dirinya terdedah kepada risiko dikhianati.

“Saya jenis yang mengutamakan keselamatan diri dan jarang bercerita mengenai hal peribadi. Saya lebih banyak mendengar daripada bercerita.

“Itu cara saya. Jadi, saya tidak ada masalah untuk berkawan dengan sesiapa sahaja, sama ada orang itu baik atau sebaliknya. Saya boleh berkawan dengan semua orang.

“Alhamdulillah, setakat ini saya masih dikelilingi orang yang baik. Saya dijaga oleh abang, saudara-mara dan ramai lagi yang memantau saya. Yang paling penting, Allah yang jaga saya,” katanya.

Dalam pada itu, Zarif sudah menjangkakan respons bercampur daripada penonton terhadap beberapa adegan dalam Cela yang mungkin dianggap kurang senang oleh segelintir pihak.

“Saya percaya netizen zaman sekarang sudah bijak. Mereka lebih melihat mesej yang cuba disampaikan dalam setiap babak.

“Saya percaya sebab saya membawakan watak ini adalah untuk menyampaikan mesej. Insya-Allah, kalau 100 peratus apa yang ada dalam skrip itu dapat saya sampaikan kepada penonton dari segi visual, Alhamdulillah.

“Jadi, walaupun ada babak yang kelihatan seperti itu, saya rasa penonton perlu melihat isi tersirat yang cuba disampaikan,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×