SHAH ALAM: Penyanyi dan komposer, Akim Ahmad, menasihati penyanyi baharu supaya meluangkan lebih banyak masa di studio bagi memastikan hasil rakaman benar-benar menepati piawaian sebelum diperdengarkan kepada khalayak.
Akim atau Afiq Hakim Ahmad, 35, berkata, disiplin berkenaan antara amalan yang diterapkan penyanyi terdahulu termasuk Datuk Zainal Abidin ketika menghasilkan album.
“Dahulu ketika mahu melancarkan album, Datuk Zainal Abidin menghabiskan sehingga 800 jam di studio. Jadi, penyanyi baharu perlu banyak berada di studio supaya lebih ‘masak’ dan tahu apa yang perlu dilakukan ketika sesi rakaman.
“Saya petik apa yang Datuk Ramli MS pesan, iaitu letakkan usaha lebih ketika sesi rakaman. Apabila mendengar single terbaharu, ada antara mereka yang persembahan vokalnya masih kurang.
“Hussain menghabiskan dua hari untuk rakaman. Usaha itu menyebabkan nyanyiannya lebih progresif dan rakamannya mempunyai karakter.
“Selepas ini, ambillah lebih banyak masa untuk rakaman vokal supaya suara anda kedengaran lebih menarik dalam single,” katanya ketika mengulas single debut finalis Big Stage Rocketfuel, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Akim yang turut dikenali sebagai Hang Nadim dalam penulisan lirik, menggalakkan pengkarya baharu meneroka bakat dalam bidang penulisan lirik.
Katanya, penyanyi juga perlu proaktif mencipta peluang untuk mengembangkan kerjaya dan tidak hanya bergantung kepada perancangan yang disediakan pihak pengurusan.
“Letakkan juga usaha untuk menulis lirik, jangan hanya menunggu daripada pihak Rocketfuel.
“Anda sendiri perlu cepat melakukan sesuatu untuk kerjaya supaya tidak ketinggalan dalam era sekarang,” katanya.
Terdahulu, peserta Big Stage Rocketfuel tampil dengan single pertama masing-masing menerusi Terus Terang (Adam Nazmie), Bukan Kamu (Aliff Kimiey), Perpisahan Ini (Danial Kifli), Tempuh (Danny), Takkan Pernah (Hussain), Malas La Wey (Qilo), Andai (Ranisha) dan Pilih Aku (Yad-Z). -UTUSAN











