PERTUBUHAN Sasterawan Kaum India (Kavyan) mengendalikan bengkel penulisan cerpen dari semasa ke semasa secara bersemuka dan secara dalam talian.
Biasanya, manuskrip cerpen terpilih disunting untuk dikirim ke akhbar, majalah dan portal dalam talian.
Bagi tujuan antologi berjudul Caritra, sejumlah lima orang penulis kaum India terlibat dalam siri perbincangan, bengkel dan bimbingan menghasilkan cerpen. Selain saya, penulis terbabit ialah Anuradha Chelliah, Kamalah Suppiah, M. Mahendran dan Malini Lakshmi Bai.
Kebanyakan cerpen menampilkan budaya, pemikiran, masalah dan gambaran realiti kehidupan kaum India di Malaysia.
Cerpen-cerpen ini juga mengetengahkan nilai-nilai positif seperti perpaduan, kerjasama, kekeluargaan, kasih sayang, persefahaman, semangat perjuangan, identiti dan jati diri.
Kesemua cerpen ditulis menggunakan bahasa yang mudah difahami dan sesuai dibaca oleh masyarakat pelbagai kaum. Antologi Caritra akan terbit tidak lama lagi dalam jumlah cetakan terhad.
Perkataan Caritra yang diangkat menjadi judul antologi ini berasal daripada perkataan Sanskrit caritra yang terbentuk daripada akar kata car bermaksud bergerak, berjalan, mengembara, bertindak atau menjalani kehidupan.
Pada mulanya, caritra merujuk kepada cara seseorang menjalani kehidupan atau tingkah lakunya. Kemudian, maknanya berkembang kepada riwayat hidup, sejarah, biografi, kisah, nama baik dan watak.
Cerpen Di Sebalik Senyuman karya Anuradha dari Banting, Selangor memperlihatkan keunikan melalui penggambaran kehidupan masyarakat India yang dekat dengan realiti semasa, tanpa mengasingkannya daripada pengalaman masyarakat Malaysia yang lebih luas.
Penulis mengangkat persoalan sejagat seperti perkahwinan toksik, keganasan emosi dan fizikal, kebebasan wanita, trauma, persahabatan, penghijrahan serta hubungan kekeluargaan jarak jauh.
Satu lagi cerpen Anuradha bertajuk Secubit Garam, Segenggam Kasih turut menyerlah melalui penghayatan kehidupan keluarga India yang disampaikan secara sederhana, dekat dan meyakinkan.
Keistimewaan cerpen ini terletak pada masakan sebagai simbol kasih sayang, warisan keluarga dan hubungan antara generasi.
Cerpen Anak Emas karya Kamalah dari Gelugor, Pulau Pinang pula berani mengangkat isu pilih kasih berasaskan gender dalam keluarga kaum India, khususnya keturunan Tamil.
Keistimewaan cerpen ini terletak pada penggunaan pengalaman peribadi watak Kanaga sebagai cerminan realiti sosial yang masih wujud, termasuk keutamaan terhadap anak lelaki, pengorbanan anak perempuan, pembatasan pendidikan dan perkahwinan yang ditentukan keluarga.
Sementara itu, cerpen Sandiwara digunakan oleh Kamalah untuk menggambarkan kehidupan masyarakat India melalui sebuah majlis perkahwinan yang sarat dengan adat, simbol budaya dan perubahan gaya hidup.
Cerpen ini menjadi lebih menarik apabila kemeriahan majlis dikontraskan dengan pengalaman watak Arasi dan Kathir yang memilih perkahwinan sederhana. Persoalan tentang budaya menunjuk-nunjuk, tekanan sosial dan kemampuan kewangan disampaikan secara tersirat.
Mahendran dari Bentong, Pahang menerusi cerpen Demi Revathy Kutti mengangkat kisah kehidupan masyarakat India di estet getah melalui sudut pengalaman seorang wanita yang berdepan tekanan adat, perkahwinan, keganasan rumah tangga dan tanggungjawab membesarkan anak berkeperluan khas.
Cerpen ini turut merakam perubahan sosial era 1980-an melalui kemunculan kereta Proton Saga, penghijrahan dari estet ke bandar dan usaha seorang wanita mencari pekerjaan selepas meninggalkan suami. Konflik menjadi kuat kerana Vasanthi terpaksa memilih antara kepatuhan kepada adat dan maruah serta masa depan anak.
Manakala menerusi cerpen Susu Pokok Getah pula, Mahendran mengangkat sejarah, pengalaman dan identiti masyarakat India sebagai sebahagian daripada sejarah kolektif bangsa Malaysia.
Pokok getah menjadi simbol penting yang menghubungkan sejarah penghijrahan, kehidupan pekerja ladang, pembangunan ekonomi dan pembentukan masyarakat Malaysia. Persoalan besar tentang identiti, warisan dan sejarah disampaikan melalui perbualan harian yang sederhana.
Cerpen Kain Kuning karya Malini dari Cheras, Kuala Lumpur pula mampu membawa pembaca melampaui sempadan geografi untuk menghayati realiti kehidupan masyarakat Tamil di Sri Lanka melalui pengalaman watak Dr. Shivani Gurunathan.
Kekuatan cerpen ini terletak pada gabungan psikologi, sejarah, budaya dan unsur misteri yang saling melengkapi. Pada penelitian saya, penggunaan konsep ‘screen memory’ yang diperkenalkan oleh Sigmund Freud menjadi landasan untuk mengungkapkan trauma yang berpunca daripada peristiwa keganasan dan kehilangan.
Keistimewaan cerpen ini ialah kemampuan penulismemperlihatkan bahawa realiti kehidupan di Sri Lanka bukan sekadar konflik dan penderitaan, malah turut merangkumi kepercayaan, kekeluargaan, kehilangan, ingatan dan usaha manusia berdamai dengan masa lalu.
Satu lagi cerpen oleh Malini bertajuk Sarika pula berjaya menggabungkan kekuatan fiksyen aneh dengan penghayatan budaya Keralam (dulu Kerala) secara meyakinkan, tanpa menjadikan latar negara India sekadar hiasan eksotik.
Pada masa sama, unsur supernatural berfungsi sebagai wahana untuk membongkar persoalan trauma, kehilangan identiti dan penipuan keluarga yang berlarutan selama enam dekad.
Saya menulis cerpen Gol dan Buku yang mengangkat pertembungan dua dunia yang jarang disatukan secara kreatif, iaitu bola sepak dan pembacaan.
Saya menjadikannya metafora tentang pembentukan identiti, pilihan hidup dan keberanian membebaskan diri daripada stereotaip.
Watak Naveen Rajaratnam dan Sarah Williams memperlihatkan wajah Malaysia yang berbilang kaum, latar dan pengalaman, khususnya melalui kehidupan di Taiping, Perak serta kehadiran watak Sarah dari Sabah.
Sementara itu, sebuah lagi cerpen saya iaitu Kabus di Kampung Benggali menampilkan pengalaman sebuah keluarga kahwin campur keturunan Malayali dan Telugu. Ia mengangkat persoalan identiti, bahasa dan kedudukan sebagai ‘minoriti dalam minoriti’.
Cerpen ini tidak menggambarkan masyarakat India secara homogen, sebaliknya memperlihatkan kepelbagaian etnik dan bahasa yang wujud dalam komuniti tersebut. Fiksyen ini sekali gus mampu memperluas pemahaman pembaca tentang makna kemajmukan sebenar di Malaysia.
Setiap penulis menyumbangkan empat buah cerpen bagi projek ini dan kesemuanya boleh dinikmati dalam antologi ini apabila terbit nanti.
Usaha kecil oleh Kavyan bertujuan memperkaya khazanah sastera kebangsaan dengan bahan bacaan bermutu yang boleh membantu masyarakat pelbagai kaum mengenali kisah dan budaya komuniti lain di Malaysia. –UTUSAN
PENULIS ialah pengasas Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan).











