SEOUL: Menteri Pertahanan Korea Selatan, Ahn Gyu-back membuat pendedahan yang mengejutkan apabila mendakwa negara jirannya, Korea Utara memiliki antara 80 hingga 120 senjata nuklear.
Pendedahan itu sekali gus menafikan dakwaan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Rabu yang mendakwa Pyongyang memiliki 57 senjata nuklear, dalam penilaian yang jarang dibuat dan luar biasa terperinci mengenai persenjataan itu.
Gyu-back, memberitahu ahli Parlimen pada Khamis bahawa Korea Utara secara umumnya dipercayai memiliki jumlah peledak nuklear itu walaupun beliau mengingatkan bahawa angka sebenar sukar ditentukan.
“Kami biasanya menganggarkan jumlahnya sekitar 80 hingga 120 (kepala peledak), tetapi agak sukar untuk menyatakan angka yang tepat,” katanya kepada sebuah jawatankuasa Parlimen.
Beliau kemudian menjelaskan bahawa angka tersebut diperoleh berdasarkan anggaran organisasi penyelidikan swasta dan menambah bahawa tentera Korea Selatan tidak dapat mengesahkan jumlah itu secara rasmi.
Ketika ditanya mengenai kenyataan Trump sehari sebelumnya bahawa Korea Utara memiliki 57 senjata nuklear yang sangat berkuasa, Gyu-back berkata: “Jumlah itu (angka yang diberikan Trump) kelihatan agak berbeza.”
Korea Selatan secara tradisinya mengelak daripada mendedahkan secara terbuka anggaran terperinci mengenai simpanan senjata nuklear Korea Utara.
Ia turut tidak mengiktiraf Pyongyang secara rasmi sebagai negara bersenjata nuklear.
Seoul bertindak demikian selaras dengan dasarnya yang tidak menyokong dasar pemilikan senjata nuklear.
Bagaimanapun, pada Jun lalu, Institut Penyelidikan Keamanan Antarabangsa Stockholm (SIPRI) menganggarkan Korea Utara mungkin mempunyai sekitar 60 kepala peledak nuklear dan memiliki bahan yang mencukupi untuk menghasilkan sekurang-kurangnya 30 lagi senjata itu.
Sementara itu, Korea Utara berulang kali berikrar untuk memperkukuh kekuatan nuklearnya dari segi kualiti dan kuantiti.
Pyongyang berulang kali menegaskan statusnya sebagai negara bersenjata nuklear tidak akan berubah, selain menyifatkan Korea Selatan sebagai negara ‘paling bermusuhan’.
Ketua Pengarah Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), Rafael Grossi pada April lalu berkata, Korea Utara menunjukkan peningkatan sangat ketara dalam keupayaan menghasilkan senjata nuklear.
Grossi berkata, peningkatan aktiviti dikesan di beberapa kemudahan di Yongbyon, termasuk reaktor berkapasiti lima megawatt, kemudahan pemprosesan semula dan reaktor air ringan.










