Cap jari tiada rekod, identiti wanita dalam beg pakaian masih misteri

Cap jari tiada rekod, identiti wanita dalam beg pakaian masih misteri

PENEMUAN beg pakaian berisi mayat wanita dijumpai di Sungai Perak berhampiran Jeti Lembah di Kuala Kangsar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
KUALA KANGSAR: Polis masih berusaha mengenal pasti identiti seorang wanita yang mayatnya ditemukan di dalam sebuah beg pakaian di Sungai Perak berhampiran Jeti Lembah, di sini, Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Heisham Harun berkata, usaha mengenal pasti identiti mangsa telah dijalankan termasuk semakan cap ibu jari oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Perak, namun tiada rekod sepadan ditemukan.
Sehubungan itu katanya, mangsa juga dipercayai bukan rakyat tempatan berdasarkan ketiadaan kesan suntikan imunisasi Bacille Calmette-Guerin (BCG) pada tubuh wanita itu.
“Bedah siasat yang dijalankan pakar patologi forensik Hospital Taiping mendapati mangsa ialah seorang wanita berusia lingkungan 30-an.
“Bagaimanapun, identiti mangsa masih belum dapat dikenal pasti kerana tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemukan bersamanya,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, mangsa mempunyai ketinggian kira-kira 154 sentimeter, berat 48 kilogram, berkulit sawo matang serta berambut hitam paras bahu.
Katanya, ketika ditemukan, mangsa lengkap berpakaian iaitu baju lengan panjang berbelang putih dan hitam, seluar jeans hitam dan memakai anting-anting.
Terdahulu, mayat wanita berkenaan ditemukan orang awam di dalam sebuah beg pakaian di kawasan cetek di Sungai Perak berhampiran Jeti Lembah pada 14 Ogos lalu.
Kes diklasifikasikan sebagai kes bunuh dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – UTUSAN

 

Memuatkan artikel berkaitan…
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN