BEIJING: Sebuah kawasan pelancongan di China mencuri perhatian di media sosial selepas menawarkan pekerjaan luar biasa dengan tugas tinggal di puncak gunung dan merakam pemandangan awan setiap hari.
Hampir 3,600 orang menyertai proses pemilihan bagi jawatan berkenaan yang menawarkan bayaran hampir 60,000 yuan (RM36,106) sebulan.
Jawatan unik itu ditawarkan pengurusan kawasan pelancongan Gunung Laojun di Wilayah Henan sebagai sebahagian usaha menarik lebih ramai pelancong.
Menurut laporan South China Morning Post pada Ahad, pengurusan Gunung Laojun sememangnya kerap memuat naik video pemandangan awan di sekitar puncak gunung itu.
Dalam keadaan tertentu, puncak Gunung Laojun kelihatan seolah-olah terapung di atas lautan awan, menjadikannya antara tarikan utama kawasan berkenaan.
Pemandangan itu kemudian dimanfaatkan pengurusan kawasan pelancongan untuk menghasilkan kandungan dan mempromosikan destinasi berkenaan.
Kawasan Pelancongan Laojun membuka pengambilan calon di seluruh China dari 8 hingga 15 Julai. Calon yang terpilih perlu tinggal di puncak gunung selama 30 hari untuk menjalankan tugas mereka.
Sepanjang tempoh itu, kos penginapan dan makanan akan ditanggung oleh pengurusan kawasan pelancongan.
Bagaimanapun, pemohon tidak terus mendapat pekerjaan tersebut. Mereka perlu menghasilkan dan memuat naik video asli ke Douyin, platform media sosial China yang mirip TikTok.
Video berkenaan perlu mengikut tema yang ditetapkan penganjur. Calon dinilai berdasarkan jumlah tanda suka, kualiti kandungan serta potensi video mereka untuk menjadi tular.
Pencipta kandungan berusia 22 tahun, Li Sichen berjaya dipilih untuk jawatan berkenaan selepas video yang dihasilkan meraih lebih 1.8 juta tontonan dan kira-kira 110,000 interaksi.










