Padah terpedaya pulangan RM50,000 dalam 24 jam, lelaki rugi RM100,000

Padah terpedaya pulangan RM50,000 dalam 24 jam, lelaki rugi RM100,000

POLIS DIRAJA MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Akibat gelap mata dengan janji manis pulangan RM50,000 dalam tempoh 24 jam, seorang lelaki berputih mata selepas kerugian RM100,000 ditipu sindiket pelaburan tidak wujud.

Mangsa berusia 58 tahun, terpedaya selepas tertarik dengan iklan skim pelaburan dikenali sebagai ‘Centralize’ yang diperkenalkan seorang individu dipercayai warga Indonesia menerusi aplikasi WhatsApp pada 1 Julai lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, pelaburan itu pada awalnya menawarkan pakej modal serendah RM350 sebelum mangsa melakukan pemindahan wang secara berperingkat.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Mangsa pada mulanya melakukan dua transaksi awal ke dalam dua akaun penerima berbeza. Beliau kemudiannya membuat penambahan pembayaran secara berperingkat sehingga jumlah keseluruhan mencecah RM100,000.

“Bayaran tambahan itu dibuat atas alasan kononnya bagi meluluskan pengeluaran pulangan keuntungan yang disekat menerusi aplikasi berkenaan,” katanya dalam kenyataan.

Yusof berkata, mangsa menyedari dirinya diperdaya selepas masih gagal menerima sebarang pulangan seperti dijanjikan walaupun pelbagai pembayaran telah dibuat.

Menurut beliau, mangsa yang berasa tertipu kemudiannya tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi semalam.

“Kes kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN