KPM rancang bina padang lengkap setiap zon

KPM rancang bina padang lengkap setiap zon

MOHD. Azam Ahmad (empat kanan) menyerahkan replika kunci bas kepada pengetua SMKA Naim Lilbanat kepada Raisham Ab. Rashid di Kota Bharu, Kelantan hari ini-UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kementerian Pendidikan (KPM) merancang untuk membina sekurang-kurangnya sebuah padang lengkap sebagai kompleks sukan di setiap zon bagi memastikan murid di sekolah kawasan bandar dan padat penduduk tidak terpinggir dalam aktiviti sukan serta kokurikulum.

Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr. Mohd Azam Ahmad berkata, pendekatan itu perlu mengambil kira kekangan tanah, khususnya di sekolah bandar yang berdepan keperluan menambah atau membina bangunan baharu.

Katanya, tidak semua sekolah mampu mempunyai padang sendiri seperti pada masa lalu berikutan kawasan tanah yang semakin terhad, terutama di lokasi berkepadatan penduduk tinggi.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Dulu kawasan mungkin banyak, tapi kalau di kawasan-kawasan luar bandar mungkin tentang padang itu tidak ada isu.

“Tapi di sekolah-sekolah di kawasan bandar, di kawasan padat penduduk, padang itu menjadi satu isu apabila ada keperluan kita tambah bangunan ataupun bina bangunan baharu, jadi mungkin kita terpaksa korban,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Bas kepada Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Naim Lilbanat di sini hari ini.

Azam memberitahu, pihaknya melihat penyediaan sebuah padang lengkap di setiap zon sebagai antara strategi bagi memastikan murid daripada beberapa sekolah berdekatan dapat menggunakan kemudahan berkenaan secara bersama.

Katanya, ia sekali gus mampu membangunkan potensi pelajar dalam bidang sukan dan permainan.

Mohd. Azam berkata, KPM turut merancang memperluaskan penyediaan dewan terbuka di sekolah yang tidak mempunyai padang atau berdepan kekangan ruang.

Katanya, kemudahan berkenaan boleh dimanfaatkan untuk pelbagai aktiviti sukan, permainan dan kokurikulum.

“Kalau misal kata tidak ada padang, kita cuba usahakan untuk dewan terbuka.

“Kalau tidak ada padang, mungkin dalam dewan terbuka itu boleh dilaksanakan aktiviti-aktiviti sukan, permainan dan kokurikulum,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN