Pengarah wanita perlu usaha lima kali ganda berbanding lelaki - Eyra Rahman - Utusan Malaysia

Pengarah wanita perlu usaha lima kali ganda berbanding lelaki – Eyra Rahman

Screenshot
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 TAHUN ini menyaksikan lebih ramai pengarah wanita hadir mempertaruhkan naskhah mereka di panggung. Setakat Ogos, industri perfileman dimeriahkan dengan Nadiah Hamzah (Kata Hati), Min Lim (Mojoku Hilang), Rahila Ali (Tiket Sehala) juga beberapa nama lain yang sedang menunggu giliran filem mereka memasuki panggung tahun ini.

Melihat perkembangan ini, pengarah, Eyra Rahman teruja memandangkan cabaran yang dihadapi pengarah perempuan berbeza membuatkan mereka perlu berusaha berkali ganda untuk membolehkan mereka menduduki kerusi sebagai pengarah.

“Saya bangga lihat  junior saya sudah pengarah filem dan saya pasti sokong. Setiap cerita mereka saya akan kongsikan, maklumlah mungkin selepas ini saya akan bersara, wajah baharu kena naik pula.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pengarah wanita dalam industri ini kena kua, sebab orang biasa ada persepsi lelaki adalah ketua kepada segalanya. Jadi pengarah wanita menjadi ketua kepada semua lelaki yang bekerja di bawahnya.

“Lelaki sukar untuk dengar arahan perempuan, jadi kita kena fikir bagaimana untuk tanganinya. Saya tidak pernah berdepan isu itu kerana saya tahu apa yang dimahukan.

“Pengarah kena tetap dengan keputusan dan juga hujah dalam perbincangan. Selalunya begitu,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Tambah Eyra yang sebelum ini pernah mengarahkan enam buah filem berkata, pengarah yang baik perlu mempunyai prinsip yang kuat bagi memastikan hasil kerja di layar sesuai dengan apa yang dirancang.

“Pengarah kenalah seorang yang berpegang kepada prinsip yang kita. Benda ini penting agar mereka tidak diperkotak-katik.

“Paling penting supaya pihak lain tidak ganggu kraf yang cuba dibina. Katakanlah dia sendiri tidak yakin, macam mana orang lain mahu hormat dia?,” katanya.

Mengulas mengenai prestasi filem pengarah perempuan yang kurang mendapat kutipan box office, Eyra berkata, ada banyak faktor yanh menyebabkan perkara itu terjadi seperti kurang peluang dan pengalaman sebagai pengarah.

“Pengarah wanita tak ramai. Bila tak ramai, yang prolifik pun tak ramai. Jadi bila wajah baharu mahu mengarah filem, orang akan bertanya ‘dia ini siapa?’ dan buatkan orang rasa tidak mahu tengok.

“Kita mahu bandingkan dengan pengarah lelaki yang sudah biasa mengarah filem, namanya sudah dikenali. Filem biasanya begitu, box office pula bukan kayu ukur sama ada sesebuah filem itu bagus atau tidak,” katanya.

Tambahnya lagi, pengarah perempuan berdepan dengan komitmen peribadi yang lebih besar terutama jika sudah mempunyai anak.

“Apabila sudah kahwin dan ada anak, kita mula fikir komitmen lain. Jadi untuk duduk lama di set penggambaran adalah perkara sukar. Ramai sahaja pengarah wanita mula perlahankan kerjaya apabila anak masing kecil.

“Sangat sukar sebab balik kerja kita nak uruskan gosok baju sekolah dan sebagainya. Tapi kita kena kuat. Berbanding lelaki, pengarah perempuan kena berusaha lima kali ganda,” katanya.

Bercakap mengenai perancangan untuk kembali pengarah filem, Eyra bagaimanapun lebih cenderung untuk menghasilkan siri drama buat masa ini.

“Rindu untuk mengarah filem memang ada, tawaran pun saya masih dapat. Cuma saya lihat pada skrip, cuma sekarang skrip drama saya dapat lebih hebat berbanding filem.

“Sebelum ini saya ada buat skrip yang ditulis daripada penulis Indonesia untuk drama ‘Curang Tanpa Niat’. Saya bukan mahu puji mereka tetapi ‘treatement’  skrip dari sana sangat bagus.

“Sekarang pula di wayang penuh cerita aksi, saya pula tidak berapa berminat hasilkan filem aksi, jadi fokus drama,” katanya.

Terkini, Eyra Rahman tampil dengan drama bersiri terbaharu arahannya, Madu Atau Racun yang disiarkan menerusi iQIYI Malaysia.

Turut sama menjayakan drama bersiri kecurangan dan pergolakan rumah tangga itu ialah Aliff Aziz, Uqasha Senrose dan Elisya Sandha.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini