20 tahun ‘diganggu’ debu, asap lori dan rumah retak

20 tahun ‘diganggu’ debu, asap lori dan rumah retak

T. NADARAJAH menunjukkan keretakan pada lantai rumahnya yang didakwa antara kesan daripada aktiviti sebuah premis berhampiran kediamannya di Bentong, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BENTONG: Pasangan warga emas di Batu Satu, Teras di sini mendakwa kehidupan mereka terganggu sejak lebih 20 tahun lalu akibat aktiviti penyimpanan batu dan pasir serta pergerakan lori berat di premis perkakasan berhampiran rumah mereka.

T. Nadarajah, 67, berkata, gangguan itu bukan sahaja me­libatkan debu dan asap diesel malah bunyi bising serta gegaran lori membawa muatan berat sehingga menyebabkan beberapa bahagian rumahnya mengalami keretakan.

Katanya, masalah berkenaan berlaku sejak 2001 dan dia sudah beberapa kali membuat aduan kepada pihak berkuasa termasuk polis, pejabat daerah serta pihak berkuasa tempatan namun mendakwa belum mendapat penyelesaian yang diha­rapkan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Lori membawa muatan be­rat masuk ke kawasan ini manakala aktiviti menurunkan dan me­­­­n­yim­pan batu serta pasir me­n­ye­babkan debu berterbangan dan masuk ke kawasan rumah.

“Bila angin kuat, debu semakin banyak dan saya terpaksa membersihkan rumah berkali-kali. Asap diesel dan bunyi lori juga mengganggu kami,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Nadarajah berkata, dia yang tinggal bersama isterinya, ST Devi, 58, turut bimbang keadaan tersebut menjejaskan kesihatan mereka terutama apabila terdedah kepada debu dan asap dalam tempoh yang lama.

Selain itu dakwanya, kea­daan dinding rumahnya juga mengalami beberapa keretakan yang semakin ketara di sam­ping kawasan sekitar kediaman se­ring dipenuhi debu.

“Saya sudah buat aduan di banyak tempat kerana tidak mahu masalah ini berlarutan. Laporan polis sebanyak lima kali. Kami warga emas dan ha­nya tinggal berdua di sini. Anak-anak pula tidak mahu menetap bersama kami,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN