Penipu ambil peluang musim Covid-19 - Utusan Malaysia

Penipu ambil peluang musim Covid-19

Mohd. Kamarudin Md. Din
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Trend jenayah penipuan melibatkan medium laman sesawang, media sosial dan panggilan telefon semakin membimbangkan, lebih-lebih ketika negara masih bergelut dengan pandemik Covid-19 sehingga ramai yang terkesan.

Dalam situasi tersebut, ada pula yang menangguk di air keruh dengan pelbagai ‘tawaran’ sehingga mangsa yang tersepit mudah terpedaya.

Perkara itu terbukti apabila Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan sebanyak 67,552 kes penipuan siber dalam tempoh lima tahun sejak 2017 sehingga 20 Jun lalu dengan kerugian RM2.23 juta.

Mendedahkan kepada Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd. Kamarudin Md. Din berkata, aduan paling tinggi direkodkan membabitkan penipuan belian dalam talian sebanyak 23,011 kes dalam tempoh lima tahun ini.

Ia diikuti pinjaman tidak wujud (21,008 kes), Macau Scam (9,161 kes), African Scam (7,873 kes), penipuan pelaburan (6,273 kes) dan Business Email Compromised (BEC) sebanyak 226 kes.

Menurut beliau, pada 2017, sebanyak 14,212 kes penipuan siber dicatatkan manakala pada 2018 (12,629 kes), 2019 (13,574 kes ) dan sebanyak 17,105 kes untuk tahun lalu.

“Berdasarkan statistik berlaku peningkatan 26 peratus bagi tahun 2019 dan tahun lalu.

“Jenayah penipuan ini terus bermaharajalela apabila enam bulan ini, jumlah direkodkan sebanyak 10,032 kes sejak awal Januari hingga 20 Jun lalu iaitu mencecah 58.6 peratus berbanding jumlah keseluruhan pada tahun lalu,” katanya dalam temu bual bersama Utusan Malaysia baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Mohd, Kamarudin memberitahu, sebanyak 29,583 tangkapan dilakukan dalam tempoh berkenaan.

Jelasnya, jumlah itu melibatkan kira-kira 9,759 tangkapan kes penipuan pelaburan tidak wujud diikuti pembelian dalam talian (7,313 tangkapan) dan African Scam (5,285 tangkapan).

“Selain itu, seramai 3,024 individu ditahan kerana terlibat pelaburan manakala 85 orang untuk kesalahan BEC.

“Daripada jumlah tangkapan, kira- kira 16,698 kes dituduh di mahkamah sepanjang tempoh enam tahun sehingga 20 Jun lalu,” ujar beliau.

Kata beliau, peningkatan kes jenayah siber berkait rapat dengan situasi semasa iaitu semakin ramai pengguna menjadikan platform internet untuk melakukan tugasan harian, beli-belah dan melakukan transaksi perbankan.

Menurutnya, ini termasuk penggunaan e-mel ‘phishing’ bagi memperdaya pengguna kerana sindiket peka dengan persekitaran terkini ketika orang ramai mahu mendapatkan maklumat berkenaan virus Covid-19.

“Pelbagai helah atau modus operandi digunakan sindiket-sindiket ini untuk memperdaya mangsa termasuk kaedah ‘layering; yang mana sindiket menggunakan akaun keldai (mule account) bagi melancarkan penipuan.

“Sindiket semakin licik apabila memindahkan wang dari akaun keldai pertama ke akaun lain seterusnya dipecahkan kepada beberapa lagi akaun. Ia bagi mengelak atau melambatkan kegiatan mereka dikesan pihak berkuasa dan institusi perbankan untuk mengenal pasti aliran wang mencurigakan,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×