PUTRAJAYA: Hukum amalan garpu tala atau istikharah al-Quran adalah makruh mengikut pandangan muktamad mazhad Syafi’e.
Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Luqman Abdullah berkata, amalan tersebut iaitu membuka lembaran al-Quran secara rawak tidak terdapat dalil dan nas khusus serta sahih yang menceritakan berkenaan dengannya.
Bahkan, menurut beliau, sekiranya digunakan sebagai kepercayaan untuk menilik terhadap apa yang akan berlaku pada masa hadapan, maka ia adalah haram dan menyerupai perbuatan ahli sihir dan penilik nasib.
Dalam menghadapi situasi itu, beliau berkata, setiap muslim perlu meninggalkan amalan tersebut kerana sebahagian ulama mengharamkannya.
“Bahkan di sisi mazhab Syafi’ie hukumnya adalah makruh yang memberi makna perbuatan yang sia-sia, malah tiada ganjaran dan apa-apa fadilat. Justeru, lebih baik ditinggalkan..
“Umat Islam perlu menghidupkan amalan istikharah dengan cara yang diajarkan Nabi SAW iaitu solat istikharah dan berdoa kepada Allah SWT selain meminta nasihat daripada individu berpengalaman,” katanya semalam.
Menurut Luqman, para ulama telah membincangkan amalan tersebut dalam kitab-kitab turath Islam yang mana mereka mengkategorikan sebagai tafa’ul iaitu optimis atau menaruh harapan untuk mendapat kebaikan terhadap sesuatu.
“Istikharah dan boleh juga disebut sebagai tafa’ul dengan menggunakan al-Quran yang diamalkan ini terdapat pelbagai cara dan variasi, namun ia tidak mempunyai sandaran dalil atau nas yang jelas serta sahih di dalam syarak,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, istikharah dengan menggunakan al-Quran juga diceritakan sebahagian ahli sejarah bahawa sesetengah daripada para ilmuwan ketika hendak bermusafir di lautan lalu dibuka al-Quran secara rawak, kemudian secara kebetulan terpampar pada halaman itu ayat yang menyatakan “supaya meninggalkan lautan” (surah al-Dukhan, ayat 24), lalu mereka tidak bermusafir serta mereka juga menenggelamkan kapal yang hendak digunakan itu.
Tambah beliau, dalam contoh lain cara istikharah menggunakan al-Quran sebagaimana disebut ulama Syeikh Mustafa al-Bugha dan Syeikh Mahyuddin Misto di dalam karya mereka, bermaksud: “Sebahagian daripada manusia beristikharah menggunakan al-Quran dengan cara lain, iaitu mereka mengambil al-Quran dan membukanya secara rawak kemudian melihat pada baris pertama di halaman pertama yang dibuka.
“Begitu juga sebahagian daripada mereka menghitung halaman yang ketujuh kemudian baris yang ketujuh, diikuti dengan kalimah yang ketujuh lalu membacanya.
“Sekiranya mereka mendapati ayat yang memerintahkan supaya melakukan sesuatu, maka mereka melakukan apa yang dirancang. Begitu juga sekiranya mereka mendapati ayat itu melarang melakukan sesuatu, maka mereka meninggalkan apa yang dirancangnya” ujar beliau.
Justeru, Luqman berkata, istikharah dengan cara ini tidak terdapat sumber asal daripada syarak dan ia juga tidak dinukilkan para imam atau ulama, malah terbina atas dasar kebetulan dan lintasan hati.
“Imam al-Alusi juga menjelaskan lagi bahawa perkara ini merupakan perbuatan bid’ah yang diada-adakan. Beliau memberi contoh sebagaimana dilakukan golongan syiah yang beristikharah dengan menggunakan tasbih dan seumpamanya,” katanya. – UTUSAN







