BUKIT JALIL: Pentas pertandingan Anugerah Juara Lagu ke40 (AJL40), dibuka dengan persembahan mantap daripada artis terkemuka tanah air malam tadi.
Tirai dimulakan dengan persembahan Francissca Peter menerusi lagu Sekadar Di Pinggiran dan kemudian diteruskan oleh Misha Omar dengan lagu Bunga-Bunga Cinta.
Kehangatan persembahan diteruskan dengan nyanyian oleh Hael Husaini dengan lagu Jampi dan kemudian Syamel dengan lagu Isabella bersama isteri tercintanya, Ernie Zakri.
Ernie kemudiannya memanaskan suasana dengan lagu Jaclyn Victor berjudul Gemilang yang pernah meraih Anugerah Juara Lagu ke-30 (AJL20).
Tidak ketinggalan, Azlan & The Typewriter yang membawakan lagu kemenangan mereka menerusi AJL ke-23, Lagu Untukmu.
Pentas dimeriahkan dengan persembahan tradisional oleh Umairah yang menyanyikan Cindai. Penonton juga menerima kejutan apabila penyanyi asal lagu itu,Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza turut tampil menyanyikan lagu ‘berhantu’ tersebut sekali gus menggamatkan ruang arena.
AJL40 yang memasuki edisi ke-40 tahun ini menyaksikan persaingan 10 lagu yang mara daripada peringkat Separuh Akhir Muzik-Muzik 40.
Tahun ini menyaksikan pembabitan Amir Masdi menerusi lagu Nurcinta, Tak Adil (Aisha Retno), Tiwikarma (K.O.I), Cak Cak Cekuk (Wani Kayrie), Lumangad Oku Dika ( Ryenald Guntabid),Kamu (Aina Abdul) serta Ke Mana Ni (Luca Sickta, Kmy Kmo & Salammusik).
Selain itu, Tangisan Seorang Pendosa (Marsha Milan), Semacam Pandora (Hazama), dan Lemah (Dayang Nurfaizah).
Edisi kali ini turut membawa makna tersendiri apabila AJL meraikan empat dekad perjalanan dalam industri muzik tempatan, sekali gus menghimpunkan karya, penyanyi dan penggiat muzik daripada pelbagai generasi. -UTUSAN











