Serpihan enjin pecahkan tingkap sebelum sedut kepala penumpang - Utusan Malaysia

Serpihan enjin pecahkan tingkap sebelum sedut kepala penumpang

TINGKAP sebuah pesawat Ryanair pecah akibat serpihan bilah kipas. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ATHENS: Serpihan bilah kipas enjin yang patah menjadi punca tingkap sebuah pesawat Ryanair pecah sejurus berlepas di Greece bulan lalu. Ini menyebabkan kepala seorang penumpang lelaki tersedut keluar dari tingkap sebelum berjaya diselamatkan oleh penumpang lain.

Laporan Lembaga Kese­lamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB) Amerika Syarikat (AS) kelmarin mendedahkan bahawa sisa bangkai burung ditemui di dalam enjinnya, sekali gus menguatkan andaian bahawa pesawat ter­babit dirempuh burung semasa berlepas dari Thessaloniki pada 10 Julai lalu.

Insiden cemas di atas pesawat Boeing 737-800 itu menyebabkan tekanan dalam kabin jatuh mendadak sebaik tingkap terpecah, manakala topeng oksigen terpaksa dilepaskan secara automatik dari siling.

Mangsa yang berusia 61 tahun mengalami kecede­raan pada bahagian leher dan bahu serta kesan lecur akibat geseran. Penumpang itu sempat ditarik masuk semula ke dalam kabin oleh penumpang berhampiran selepas disedut tingkap yang pecah.

Beberapa saksi menceritakan bahawa mereka mendengar bunyi letupan kuat sebelum pesawat mula hilang ketinggian dan mencetuskan panik dalam kalangan penumpang.

“Ramai yang sedang tidur ketika itu. Kami mendengar bunyi yang sangat kuat seperti tayar meletup dan serta-merta menyedari kabin kehilangan tekanan kerana pesawat mula menjunam,” kata seorang penumpang yang dikenali sebagai Christina kepada Radio Thessaloniki.

Sejurus kejadian, Ryanair dalam kenyataan awalnya men­dakwa penerbangan berkenaan berpatah balik hanya disebabkan tingkap penumpang yang tercabut. Bagaimanapun, siasatan rasmi NTSB mengesahkan bahawa pesawat terbabit sebenarnya mengalami kegagalan enjin sebelah kanan yang turut merosakkan beberapa bahagian fuislaj pesawat.

Data rekod penerbangan Flight­radar24 mendedahkan bahawa pesawat itu sempat terbang melebihi ketinggian 4,570 meter kira-kira enam minit selepas berlepas, sebe­lum membuat penurunan mendadak ke paras 1,830 meter. – AFP/AGENSI

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×