PUTRAJAYA: Malaysia dan Kerajaan Arab Saudi memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh kerjasama dalam bidang kehakiman.
MoU itu ditandatangani Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia, Azhaniz Teh Azman Teh dan Menteri Kehakiman Arab Saudi, Sheikh Dr. Waleed Mohammed Alsmani, serta disaksikan Ketua Hakim Negara, Tun Wan Ahmad Farid Wan Salleh.
Kerjasama itu merangkumi pengurusan kes sivil, teknologi dan pendigitalan kehakiman, selain pertukaran pengalaman praktikal serta maklumat kehakiman yang tersedia untuk umum.
Selain itu, MoU berkenaan menyediakan ruang untuk lawatan institusi dan pertukaran secara berkala antara kedua-dua negara.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan, MoU itu turut menyediakan platform berstruktur bagi meningkatkan penglibatan institusi, perkongsian pengetahuan dan kerjasama berterusan ke arah pentadbiran keadilan yang cekap.
Turut hadir pada majlis itu ialah Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Abu Bakar Jais; Hakim Besar Malaya, Datuk Seri Hashim Hamzah; Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Azizah Nawawi serta Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan dan Rayuan.
Majlis itu diadakan bersempena dengan lawatan rasmi Sheikh Dr. Waleed ke Malaysia.
Dalam kunjungan rasmi itu, Waleed dan delegasinya turut mengadakan kunjungan hormat terhadap Wan Ahmad Farid.
Delegasi berkenaan turut menyertai Dialog Kehakiman dan Sesi Perkongsian Pengalaman mengenai pendekatan Malaysia terhadap kesalahan seksual terhadap kanak-kanak selain pendigitalan sistem kehakiman negara.-UTUSAN.











